125 taska mohon operasi dalam PKPB di Terengganu

Hanafiah Mat
Hanafiah Mat
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 125 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Terengganu menghantar permohonan untuk beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 9 November lalu.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, jumlah itu adalah 122 institusi taska, manakala tiga lagi taska di rumah melibatkan 1,870 kanak-kanak.

Menurutnya, permohonan tersebut sedang diteliti oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mereka akan dibenarkan beroperasi sekiranya mematuhi syarat dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kerajaan putuskan supaya taska dan pusat jagaan harian yang menjaga anak-anak petugas barisan hadapan dan ibu bapa perlu keluar bekerja dalam tempoh PKPB dibenarkan operasi sekiranya mereka memenuhi syarat.

“Antara syarat itu adalah pendaftaran taska dengan JKM masih sah, mematuhi SOP PKP Pemulihan iaitu Garis Panduan Pencegahan Penularan Covid-19 pasca PKP dan mendapat kebenaran daripada JKM.

“Selain itu, taska yang memohon juga perlu melampirkan surat pengesahan dan arahan bekerja di pejabat oleh majikan ibu bapa kanak-kanak berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Hanafiah berkata, kebenaran operasi taska dan pusat jagaan harian dalam tempoh PKPB adalah selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) yang sedang dikuatkuasakan.

“Bancian dilakukan kerajaan pada 23 hingga 25 Oktober lalu mendapati ada keperluan kebenaran operasi taska dan pusat jagaan harian yang menjaga anak-anak petugas barisan hadapan serta ibu bapa yang keluar bekerja.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, kebenaran ini akan dibatalkan sekiranya terdapat arahan terkini daripada mana-mana pihak berkuasa berhubung perkara ini,” katanya.