Filem kembar TNB bakal terangi Deepavali

Filem mengisahkan kehidupan kembar seiras tapi berbeza karakter, Deepalakshmi dan adiknya Poojalakshmi yang diumpamakan sebagai mewakili dua zaman, tradisi serta moden
Filem mengisahkan kehidupan kembar seiras tapi berbeza karakter, Deepalakshmi dan adiknya Poojalakshmi yang diumpamakan sebagai mewakili dua zaman, tradisi serta moden
A
A
A

TENAGA Nasional Berhad (TNB) sekali lagi bakal menerangi sambutan perayaan Deepavali dengan menayangkan sebuah filem pendek bertajuk ‘Kembar Mencabar Deepavali’.

Filem itu mengisahkan kehidupan kembar seiras tapi berbeza karakter, Deepalakshmi dan adiknya Poojalakshmi yang diumpamakan sebagai mewakili dua zaman, tradisi serta moden.

Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan TNB, Datuk Baderul Sham Saad berkata, dalam filem berkenaan, pasangan kembar itu sering berselisih faham.

Menurutnya, Deepalakshmi suka melakukan perkara secara serba teratur dan mengikut tradisi manakala Poojalakshmi lebih bersahaja serta gemar dengan sentuhan teknologi moden.

“Pertembungan perbezaan itu memuncak ketika kedua-duanya sibuk menghias rumah sempena Deepavali.

“Namun, akhirnya masing-masing sedar bahawa mereka bersama boleh membawa keceriaan Deepavali dengan mengetepikan perbezaan untuk saling membantu dan bekerjasama,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ujar Baderul, dalam suasana sekarang yang tidak pasti dan mencabar, penting bagi semua masyarakat untuk kembali menghayati erti perayaan iaitu mengukuhkan ikatan kekeluargaan antaranya menerusi persefahaman serta toleransi.

Jelasnya, ia umpama air dicincang takkan putus, keperibadian berbeza tidak sepatutnya memisahkan ahli keluarga.

Artikel Berkaitan:

“Ikatan kekeluargaan cukup teguh untuk mencetuskan sinar kebaikan antara satu sama lain.

“Kasih sayang walau sepesat manapun zaman tidak akan hilang, begitu jugalah peranan TNB menerangi Malaysia sebagai penggerak kemajuan negara sekali gus memberikan kesejahteraan kepada rakyat sejak 71 tahun yang lalu,” katanya.

Menurut Baderul, filem Kembar Mencabar Deepavali bakal bersiaran mulai 11 November ini secara dalam talian menerusi saluran YouTube TNB manakala filem berdurasi 60 saat akan disiarkan di stesen televisyen tempatan mulai 13 November nanti.

Tambah beliau, di akhbar dan media sosial pula, iklan tersebut menawarkan pengalaman realiti terimbuh yang membolehkan pembaca serta penonton menjelajah rumah pasangan kembar terbabit menerusi pengimejan maya 360 darjah, bagi merasai kemeriahan Deepavali dengan lebih mendalam.