X

Kindly register in order to view this article
!

[VIDEO] Bekalan air dijangka pulih jam 3 petang ini

Bekalan air di kawasan terjejas dijangka akan mula diterima oleh para pengguna pada jam 3 petang ini secara berperingkat-peringkat.
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekalan air di kawasan terjejas akibat henti tugas Loji Rawatan Air Rantau (LRA) Panjang dan Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 dijangka akan mula diterima oleh para pengguna pada jam 3 petang ini secara berperingkat-peringkat.

Ketua Komunikasi Korporat, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Elina Baseri berkata, LRA Panjang dan SSP 1, 2 dan 3 yang menghentikan operasi petang semalam akibat insiden pencemaran bau kini sudah kembali beroperasi semula secara berperingkat pada jam 2.40 pagi tadi selepas bacaan sifar ton tiga kali direkodkan.

Menurutnya, sehingga jam 7 pagi tadi, keempat-empat LRA telah selesai melaksanakan aktiviti pencucian dan pengepaman di setiap bahagian dalam proses rawatan di LRA bagi memastikan kualiti air dibekalkan bersih dan selamat mengikut piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Air Selangor telah melakukan pengesahan kualiti air di setiap bahagian dalam proses rawatan air serta kolam-kolam imbangan dan telah disahkan tiada bau oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara," katanya.

Beliau memberitahu, Air Selangor sedang berusaha menstabilkan sistem agihan sebelum bekalan air dapat diagihkan kepada pengguna.

"Air Selangor akan memaklumkan jadual pemulihan bekalan air mengikut kawasan setelah sistem agihan bekalan air distabilkan," katanya.

Elina berkata, bekalan air dijangka mula diterima pengguna petang ini secara berperingkat-peringkat mengikut kedudukan kawasan dalam sistem agihan bekalan air.

Justeru, katanya, bantuan bekalan air alternatif yang dilaksanakan oleh Air Selangor akan diteruskan bagi membantu pengguna yang terjejas termasuk menggerakkan sebanyak 111 lori tangki, menyediakan 14 pili awam dan membuka 17 Pusat Khidmat setempat, serta mengagihkan air minum lima liter.

"Air Selangor akan memaklumkan pelan pemulihan gangguan bekalan air tidak berjadual dari masa ke masa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com.

"Selain itu, pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!