Malaysia tuntut WHO tarik balik artikel burukkan sawit

Menteri Industri Utama, Teresa Kok
Menteri Industri Utama, Teresa Kok
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia hari ini menuntut supaya Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menarik balik artikel memburukkan sawit bertajuk "The Palm Oil Industry and Non Communicable Diseases” (Industri Sawit dan Penyakit Tidak Berjangkit) yang disiarkan dalam WHO Bulletin.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, Malaysia kesal kerana artikel itu bukan sahaja tidak berasas, malah keterlaluan apabila menyamakan industri sawit dengan taktik pelobi tembakau dan alkohol dalam mempengaruhi penyelidikan serta kesan produknya terhadap kesihatan.

“Kita melihat rencana itu sebagai tidak benar dan diskriminasi terhadap minyak sawit dengan niat untuk memburukkan industri tersebut.

“Malah, rumusan kajian itu turut menyamakan industri itu dengan pelobi tembakau dan alkohol. Tuduhan melampau ini menjejaskan reputasi para saintis dan penyelidik selain mengetepikan hasil mengenai nilai nutrisi minyak sawit yang telah diterbitkan dalam pelbagai jurnal sains dan kajian (sebelum ini),” katanya dalam satu kenyataan hari ini selepas bertemu dengan wakil WHO ke Malaysia, Brunei dan Singapura membabitkan rencana tersebut.

Beliau berkata selain kementerian, kalangan wakil industri minyak sawit beserta beberapa ahli akademik kanan turut mengecam artikel tidak berasas itu.

Pandangan tersebut telah disampaikan kepada wakil WHO ke Malaysia, Brunei dan Singapura, Dr Lo Ying-Ru dan Pegawai Pengurusan Program dan Teknikalnya, Dr Paul Soo dalam pertemuan dengan Kok serta wakil Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Persatuan Ahli Sains dan Teknologi Minyak Malaysia (MOSTA) dan Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA).

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Datuk Dr. Kalyana Sundram; Presiden MOSTA Tan Sri Emeritus Professor Datuk Dr. Augustine Ong serta Presiden MEOA Jeffrey Ong.

“Pihak kementerian bersama kumpulan ini amat terkejut dengan keputusan editor WHO Bulletin itu menyiarkan artikel yang menuduh industri sawit menggunakan taktik sama seperti pelobi alkohol dan tembakau.

Artikel Berkaitan:

“Kita turut diberi penjelasan oleh Dr Lo bahawa artikel itu bukannya satu kajian mahu pun dasar atau saranan pemakanan WHO, sebaliknya ditulis oleh pihak lain dan disiarkan selepas dinilai oleh editor terbabit,” katanya.

Menurut Kok, pihak WHO juga kesal kerana kajian itu kemudiannya dipetik oleh agensi berita asing, Reuters sebagai kajian WHO dan memberi gambaran kepada orang ramai bahawa ia memaparkan pendirian dan pandangan rasmi pertubuhan itu terhadap minyak sawit.

Katanya, wakil WHO menjelaskan, artikel itu disiarkan beserta nota penafian dan jelas memaparkan ia ditulis oleh SowmayaKadandale, Robert Marten dan Richard Smith serta makluman tambahan bahawa artikel itu tidak boleh dianggap sebagai kajian WHO.

“Bagaimanapun, kesan buruknya sudah berlaku dan takrifan salah Reuters telah menarik perhatian ramai dan turut disiarkan oleh pihak lain.

“Walaupun pihak WHO Bulletin setakat ini enggan menarik balik penerbitan rencana itu, kita tetap tegas dan berpendapat bahawa tindakan itu patut dibuat kerana dakwaan yang salah dan berat sebelah. Kita juga harian bagaimana sebuah pertubuhan antarabangsa mengenai kesihatan umum boleh memberi ruang dan menyiarkan artikel sedemikian,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia juga berharap WHO akan terus mengetengahkan dasar dan saranan yang berasaskan sains dan bukannya berat sebelah atau mengulangi perbuatan sedemikian.

Pada masa sama, MPOC akan menghantar kritikan terhadap penyiaran artikel itu menerusi Surat Kepada Editor WHO Bulletin tersebut.

Kok dan wakil WHO tersebut juga sependapat supaya satu seminar teknikal diadakan di rantau ini pada masa depan dalam usaha memperbetulkan banyak maklumat salah mengenai minyak dan lelemak, terutamanya minyak sawit.- Bernama