Pencemaran air: Ganjaran RM5,000 kepada pemberi maklumat

Keadaan persekitaran loji yang bertukar warna yang dikesan di Sungai Selangor. - Foto Bernama
Keadaan persekitaran loji yang bertukar warna yang dikesan di Sungai Selangor. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menawarkan ganjaran RM5,000 kepada mereka yang dapat menyalurkan maklumat dan bukti sehingga tertangkapnya pihak melakukan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor, yang menjadi punca gangguan bekalan air.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebarang maklumat boleh disalur melalui e-mel pro@kasa.gov.my atau talian hotline Jabatan Alam Sekitar (JAS) di 1-800- 88-2727.

"Ganjaran diberikan selaras dengan komitmen berterusan kerajaan dalam Belanjawan 2021 yang akan menyediakan peruntukan khas kepada mana-mana (pihak) yang dapat menyalurkan maklumat tentang sebarang salah laku dan pelanggaran undang-undang, termasuk isu pencemaran sungai.

"Saya amat memandang serius mengenai perkara ini kerana tujuh insiden henti tugas loji rawatan air di Selangor akibat pencemaran sungai pada tahun ini tidak sepatutnya berlaku," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, ekoran itu, beliau mengarahkan Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang untuk segera ke beberapa lokasi tapak yang disyaki menjadi punca pencemaran iaitu di sekitar Taman Velox, Rawang.

Beliau berkata lawatan itu turut disertai Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium (IWK), Narendran Maniam dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman.

"Berdasarkan kepada siasatan awal, didapati pencemaran berpunca daripada efluen industri daripada pelbagai sumber industri kecil dan sederhana di Taman Velox dan kawasan persekitarannya iaitu Kawasan Industri Kecil Sungai Bakau dan Taman Perindustrian Teknologi Rawang.

"Sebahagian daripada efluen industri yang berbau ini telah masuk ke dalam longkang dan sebahagian lagi dilepaskan secara haram ke dalam sistem pembetungan, di mana efluen industri ini seterusnya mengganggu tugas loji rawatan kumbahan yang dioperasi oleh IWK di Taman Velox," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penyiasatan akan terus dijalankan oleh pasukan penguatkuasa daripada JAS, IWK, SPAN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Air Selangor dan kerajaan negeri Selangor sehingga punca pencemaran dan penjenayah alam sekitar itu dapat dikenal pasti.

Hari ini, Bernama melaporkan pencemaran itu mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang.

Turut dilaporkan, gangguan bekalan itu merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mulai 6 petang ini. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Empat loji rawatan air di Selangor dihenti tugas

[VIDEO] Lebih 1.13 juta akaun pengguna terjejas bekalan air di KL, Selangor

Punca pencemaran bau disyaki tindakan sabotaj

Efluen dari loji IWK disyaki punca pencemaran bau