Risiko rendah penganjuran Piala Malaysia

Johan Kamal
Johan Kamal
A
A
A

SAINGAN TM Piala Malaysia tidak seharusnya ditangguh memandangkan tiada kes membabitkan industri bola sepak dicatatkan sejak saingan Liga Malaysia (Liga-M) disambung semula Ogos lalu.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, pihaknya menyokong rayuan yang telah dikemukakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

“Saya percaya banyak pelaburan yang telah dibuat bagi tahun ini dan sudah tentu kita tidak mahu ia ‘hilang’ begitu sahaja.

“Ini berikutan, risikonya rendah. Sepanjang saingan Liga-M sehingga ke saingan Piala Malaysia, tidak ada kes yang dilaporkan berlaku.

“Lagi pun di setiap perlawanan, semua pasukan telah mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Johan berkata, pihaknya sedia mengikuti arahan MFL jika saingan Piala Malaysia diteruskan secara berpusat dengan mengikut SOP yang lebih ketat.

“Kita sedia mematuhi jika diarahkan untuk beraksi dengan kaedah sedemikian kerana kita tahu ia adalah satu keputusan yang dibuat bagi membantu mengurangkan risiko jangkitan.

“Apa pun, yang penting, kerajaan nampak usaha kita. Lagi pun setakat ini, tak pernah berlaku penularan Covid-19 dalam bola sepak di negara ini,” katanya.

Artikel Berkaitan: