Cerpelai sebar virus mutasi Covid-19

Lebih 200 individu di Denmark mendapat jangkitan Covid-19 yang disebarkan haiwan tersebut. - Foto Agensi
Lebih 200 individu di Denmark mendapat jangkitan Covid-19 yang disebarkan haiwan tersebut. - Foto Agensi
A
A
A

COPENHAGEN - Mutasi koronavirus (Covid-19) yang dikhuatiri akan mencetuskan pandemik baharu telah menyebabkan kira-kira 15 juta cerpelai (mink) di 1,139 ladang di Denmark terpaksa dimusnahkan pada minggu lalu.

Lebih satu perempat juta penduduk di negara itu turut dikenakan langkah lockdown selepas pihak berkuasa menemui perubahan genetik yang mungkin boleh menjejaskan keberkesanan vaksin pada masa hadapan.

Setakat ini, lebih 200 individu telah dijangkiti Covid-19 yang dikaitkan dengan spesies cerpelai tersebut.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan berpendapat masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan “Kita perlu tunggu dan lihat apa impaknya. Tetapi, kita tidak boleh terus membuat kesimpulan sama ada mutasi virus itu akan mempengaruhi keberkesanan vaksin,” kata Ketua Saintis WHO, Soumya Swaminathan.

Awal tahun lalu, agensi PBB itu pernah tersalah jangka tentang ancaman pandemik Covid-19 walaupun ia sudah merebak dengan meluas ke beberapa negara.

Sikap terlalu berhati-hati WHO dikhuatiri akan menyebabkan kesilapan sama mungkin berulang walaupun koronavirus adalah sama seperti virus lain yang bermutasi dari masa ke masa dan tiada bukti menunjukkan mana-mana mutasi yang ditemui di Copenhagen meningkatkan ancaman bahaya kepada orang ramai.

Saintis percaya virus tersebar di ladang cerpelai melalui titisan, makanan atau debu kotoran yang berjangkit. - Foto Agensi
Saintis percaya virus tersebar di ladang cerpelai melalui titisan, makanan atau debu kotoran yang berjangkit. - Foto Agensi

Saintis tempatan bagaimanapun bimbang dengan virus dikaitkan dengan cerpelai itu yang ditemui pada 12 individu dan didakwa memberi tindak balas kurang sensitif kepada antibodi.

Artikel Berkaitan:

Ahli epidemiologi daripada Institut Penyelidikan Cirad di Perancis, Dr Marisa Peyre berkata, perkembangan itu membimbangkan, namun mereka masih belum mendapat gambaran penuh.

“Ia berubah setiap kali merebak antara haiwan. Vaksin atau rawatan mungkin tidak akan berhasil jika mutasi genetik itu berlaku secara lebih meluas berbanding yang sedang tersebar antara manusia ketika ini,” jelasnya.

Situasi itu adalah rangkaian yang jarang berlaku apabila virus yang berasal daripada haiwan liar berkemungkinan kelawar merebak kepada manusia daripada haiwan yang menjadi ‘hos pertengahan’ masih misteri hingga kini dan mencetuskan pandemik yang menjangkiti lebih 50 juta di seluruh dunia.

Difahamkan, penyebaran itu bermula apabila cerpelai yang diternak di ladang terjejas mendapat jangkitan daripada pekerja yang positif Covid-19.

Ancaman haiwan lain

Dalam sejumlah kecil kes, virus tersebut disebarkan semula daripada haiwan itu kepada manusia disebabkan perubahan genetik.

Mutasi pada beberapa virus yang ada kaitan dengan cerpelai tersebut melibatkan lonjakan protein virus yang disasarkan sebahagian vaksin yang sedang dihasilkan.

“Manusia akan mula menyebarkan virus mengalami mutasi tersebut dan vaksin tidak dapat melindungi individu jika keadaan itu berlaku,” ujar Dr Peyre.

Menurut Profesor Joanne Santini daripada University College London pula, cerpelai telah menjadi ‘penyebar’ virus tersebut dan pengawasan perlu dilakukan terhadap haiwan liar lain yang mungkin berisiko.

“Mungkin ada spesies lain yang mengalami keadaan sama seperti cerpelai. Kita mungkin tidak sedar dan perlu pastikan tentang perkara tersebut,” tambahnya.

Sebelum ini, terdapat laporan melibatkan haiwan seperti kucing, anjing, singa dan harimau di zoo AS dijangkiti Covid-19.

Bagaimanapun, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS berpendapat risiko haiwan menyebarkan virus itu kepada manusia dianggap masih rendah walaupun anjing dan kucing boleh menjadi hos sementara, namun tidak dapat menjangkiti manusia.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa Perancis tetap menggesa pesakit Covid-19 supaya mengelakkan kontak rapat dengan haiwan peliharaan mereka terutamanya musang kecil (ferret) yang tergolong dalam spesies sama seperti cerpelai.

Ahli virologi di Columbia University di New York, Angela Rasmussen turut menyuarakan kebimbangan tentang potensi Covid-19 disebarkan kucing liar.

“Haiwan itu senang terdedah kepada jangkitan. Kita mungkin akan terperangkap dengan SARS-CoV-2 untuk tempoh beberapa tahun lagi jika kucing liar menjadi penyebar virus tersebut,” ujarnya.

Kakitangan Pentadbiran Veterinar dan Makanan bersama staf Agensi Pengurusan Kecemasan lengkap memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) ketika melakukan langkah besar-besaran memusnahkan cerpelai pada minggu lalu. - Foto Agensi
Kakitangan Pentadbiran Veterinar dan Makanan bersama staf Agensi Pengurusan Kecemasan lengkap memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) ketika melakukan langkah besar-besaran memusnahkan cerpelai pada minggu lalu. - Foto Agensi

Ketika ini, pakar enggan secara terburu-buru mengiyakan ancaman mutasi virus yang dibawa cerpelai sangat berbahaya berikutan mereka masih memerlukan lebih banyak bukti untuk mengesahkannya.

Menurutnya, Covid-19 telah berulang kali mengalami mutasi selain jenis baharu ditemui, namun ia tidak bermakna virus tersebut adalah lebih berbahaya.

Sehingga kini, tiada kajian menunjukkan jenis baharu SARS-CoV-2 lebih mudah menular atau berbahaya daripada jenis asal.

Ketua Perubatan Veterinar di University of Cambridge, James Wood juga menyatakan perubahan dalam lonjakan protein masih belum dinilai oleh komuniti saintifik antarabangsa sekali gus ia masih belum jelas.

“Masih terlalu awal untuk mengesahkan mutasi virus tersebut boleh menyebabkan kegagalan vaksin atau imuniti kelompok,” ujarnya. - AFP

INFO:

Penularan wabak tersebut pernah dilaporkan di Belanda, Denmark, Sepanyol, Sweden, Itali dan Amerika Syarikat (AS) serta menyebabkan jutaan haiwan terpaksa dimusnahkan.

Cerpelai juga sama seperti spesies ferret (musang kecil) yang diketahui rentan terhadap Covid-19. Ia juga boleh menunjukkan beberapa gejala termasuk simptom teruk seperti pneumonia dan asimptomatik.

Saintis percaya virus tersebar di ladang cerpelai melalui titisan, makanan atau debu kotoran yang berjangkit.

Sejak Jun lalu, lima jenis mutasi virus dikaitkan dengan cerpelai dikesan pada 214 individu.

Analisis oleh Institut Serum Negara Denmark mendapati hanya satu daripadanya yang dikenali sebagai Kluster Lima yang didakwa kurang sensitif kepada antibodi.

Bulan lalu, Denmark mula menghapuskan jutaan cerpelai di utara negara itu. Kira-kira 216 daripada 1,139 telah dijangkiti.

Denmark merupakan pengeksport terbesar bulu cerpelai dengan menghasilkan kira-kira 17 juta bulu haiwan itu pada setiap tahun. Sebahagian besar daripadanya dieksport ke China dan Hong Kong.

Virus mutasi pernah dikesan pada cerpelai di ladang ternakan di Belanda, namun ia tidak menyebarkannya kepada manusia.