SPM penting walaupun bukan segala-galanya

Tarikh peperiksaan SPM tahun ini ditunda kepada 22 Februari tahun depan.
Tarikh peperiksaan SPM tahun ini ditunda kepada 22 Februari tahun depan.
A
A
A

SUATU ketika, Merak Jalanan percaya Sijil Pelajaran Malaysia adalah segala-galanya. Keputusan SPM bagus boleh masuk universiti, dapat biasiswa, dapat kerja elok dan bergaji besar. Senang cakap, itulah perkara paling penting buat seorang pelajar di Malaysia.

Namun, kepercayaan itu sedikit tercalar bila lihat kawan-kawan Merak Jalanan yang berjaya walaupun tak dapat semua A dalam subjek SPM. Sesetengahnya ada kerja yang hebat, bergelar usahawan atau jadi orang terkenal.

Sungguhpun keputusan SPM yang baik tidak semestinya merupakan kayu ukur tentang kebolehan seseorang, Merak Jalanan yakin peperiksaan tingkatan lima itu masih dianggap penting oleh pelajar dan ibu bapa.

Sebab itulah Merak Jalanan bimbang penutupan sekolah di seluruh negara sampai hujung tahun ini akibat Covid-19 akan menjejaskan pencapaian pelajar dan memberi kesan kepada sistem peperiksaan di negara ini untuk jangka masa panjang.

Tarikh peperiksaan SPM tahun ini sudah pun ditunda sebanyak dua kali kepada 22 Februari tahun depan. Ini bermakna calon SPM 2021 mungkin terpaksa mengambil peperiksaan pada tahun 2022.

Bila peperiksaan tertangguh, kemasukan ke universiti juga akan terkena tempiasnya.

Mengikut perkiraan Merak Jalanan, sekolah hanya dibuka sebanyak 120 hari daripada 365 hari pada tahun ini gara-gara PKP. Sepatutnya, hari persekolahan tahun ini adalah sebanyak 196 hari.

Seorang guru sekolah menengah memberitahu Merak Jalanan, ramai guru dan pelajar rasa terseksa dengan sesi pembelajaran dalam talian sewaktu pandemik ini kerana masalah internet dan gajet.

Artikel Berkaitan:

Tumpuan calon SPM jelas sekali terganggu dan dikhuatiri akan menjejaskan keputusan peperiksaan itu nanti.

Justeru, tiada salahnya jika kerajaan membuka sekolah khusus untuk pelajar tingkatan lima kecualilah ada alternatif yang lebih baik. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.