Vaksin BioNTech dan Pfizer akan dijual lebih murah

Pfizer mengesahkan vaksin dihasilkan bersama BioNTech terbukti 90 peratus berkesan. - Foto: Agensi
Pfizer mengesahkan vaksin dihasilkan bersama BioNTech terbukti 90 peratus berkesan. - Foto: Agensi
A
A
A

FRANKFURT - Firma bioteknologi, BioNTech yang menjadi 'pemenang pertama' perlumbaan untuk menghasilkan vaksin koronavirus (Covid-19) merancang memasarkan rejimen dua suntikan dos virus itu di bawah harga pasaran biasa dan mungkin akan meletakkan harga berbeza mengikut negara atau wilayah.

Ketua Strategi BioNTech, Ryan Richardson berkata, langkah menetapkan harga vaksin itu yang dihasilkan bersama firma farmaseutikal, Pfizer di Amerika Syarikat itu bertujuan untuk memastikan akses diperoleh secara meluas di seluruh dunia.

Semalam, kedua-dua firma tersebut mengesahkan vaksin dihasilkan mereka terbukti 90 peratus berkesan berdasarkan keputusan ujian awal yang menjadi tonggak penting kepada usaha memerangi virus tersebut.

Susulan perkembangan itu, Suruhanjaya Eropah (EC) memaklumkan mereka akan mengadakan perbincangan berhubung kontrak bekalan vaksin tersebut pada hari ini selepas Bank Pelaburan Eropah menyalurkan pinjaman 100 juta euro (RM486 juta) kepada BioNTech untuk program penghasilan vaksin Covid-19.

Pada Julai lalu, Pfizer mencapai persetujuan dengan pemerintah AS untuk membekalkan 100 juta dos vaksin berpotensi pada harga AS$39 (RM160) untuk dua dos suntikan atau AS$19.50 (RM80) untuk setiap satu dos suntikan.

Dalam perkembangan berkaitan, pengawal selia kesihatan Brazil, Anvisa bertindak menggantung ujian klinikal vaksin Covid-19 dihasilkan firma farmaseutikal, Sinovac Biotech di China selepas 'insiden buruk yang serius' melibatkan seorang sukarelawan pada 29 Oktober lalu.

Menurut Anvisa, mereka tidak dapat memberikan butiran lanjut tentang apa yang berlaku ketika ujian vaksin CoronaVac tersebut kerana boleh dianggap melanggar peraturan privasi. - Agensi

Artikel Berkaitan: