X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga LRA Rantau Panjang masih belum beroperasi

Lebih 1.1 juta pengguna terjejas bekalan air di KL, Selangor akibat dari pencemaran Sungai Selangor.
A
A

SHAH ALAM - Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, SSP 1, 2 dan 3 masih belum boleh beroperasi buat masa ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Elina Baseri berkata, tahap pencemaran bau di Muka Sauk LRA Rantau Panjang pada tahap empat TON, manakala di Muka Sauk LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 pula berada pada tahap tiga TON.

"Henti tugas ini menyebabkan Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 2,857 juta liter sehari dan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual kepada para pengguna di 1,279 kawasan.

"Maklumat pemulihan bekalan air kesemua kawasan yang terjejas akan dimaklumkan setelah loji mula beroperasi," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Elina berkata, Air Selangor telah menggerakkan sebanyak 84 lori tangki air ke premis-premis kritikal serta kawasan perumahan yang terjejas.

"Bekalan air alternatif juga boleh diperoleh di 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang disediakan bermula pada jam 8 malam ini untuk kemudahan para pengguna.

"Air Selangor menasihatkan para pengguna untuk mematuhi peraturan Pelaksanaan Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan air daripada lori tangki dan pili-pili awam yang disediakan," katanya.

Menurutnya, Air Selangor akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari masa ke masa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com.

"Para pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air," katanya.

Terdahulu, sebanyak 1,139,008 juta akaun pengguna di 1,279 kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor berdepan gangguan bekalan air bermula petang ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd menerusi satu kenyataan memaklumkan, ia merangkumi kawasan Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!