IWK nafi jadi punca pencemaran

IWK menafikan dakwaan pihaknya menjadi punca pencemaran sehingga menyebabkan henti tugas di empat LRA hari ini.
IWK menafikan dakwaan pihaknya menjadi punca pencemaran sehingga menyebabkan henti tugas di empat LRA hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Indah Water Konsortium (IWK) menafikan dakwaan pihaknya menjadi punca kepada insiden pencemaran bau sehingga menyebabkan henti tugas di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Narendran Maniam berkata, pencemaran bau itu berpunca daripada sisa buangan haram oleh pihak tidak bertanggungjawab malah IWK turut mengambil tindakan segera dengan menghentikan pembebasan sisa kumbahan pada 4 November lalu selepas mengesan bahan berkenaan dalam sistem pembetungan mereka.

Menurutnya, LRA terlibat terpaksa dihentikan selama beberapa hari bagi mengelakkan tumpahan ke sistem perairan yang akan membawa kesan lebih buruk kepada alam sekitar.

"IWK juga telah melaksanakan rawatan menggunakan enzim bagi meneutralkan proses dan dalam tempoh itu, kami terpaksa melakukan proses rawatan air kumbahan di luar tapak.

"Sebaik kami menghentikan pembebasan sisa kumbahan bagi tujuan rawatan, kakitangan IWK terus memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai insiden itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas hari ini ekoran insiden pencemaran bau yang dikesan berhampiran loji kumbahan IWK di Taman Velox, Rawang.

Sehubungan itu, Narendran berkata, IWK turut berharap agar semua pihak dapat mengelakkan daripada membuat sebarang dakwaan tidak berasas berhubung insiden tersebut.

"IWK juga telah membuat laporan polis berhubung kejadian ini dan usaha perlu dilakukan bagi mengesan pihak bertanggungjawab," katanya.

Artikel Berkaitan: