Krisis air: Pemuda Pas Selangor lancar Ops Air Untuk Rakyat

Hanafi Zulkapli
Hanafi Zulkapli
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor melancarkan Ops Air Untuk Rakyat bagi membantu meringankan beban rakyat dalam usaha mendapatkan sumber air mentah di 1,279 kawasan yang terjejas dengan krisis pencemaran air pada kali ini.

Ketua Pemudanya, Hanafi Zulkapli berkata, Ops Air Untuk Rakyat itu akan dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Amal Malaysia Selangor dengan memberi tumpuan kepada operasi menyediakan bekalan air bersih kepada penduduk yang terjejas.

"Seramai 500 anggota Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor seluruh negeri akan digerakkan dalam operasi kali ini yang melibatkan kawasan Parlimen yang terjejas antaranya kawasan Tanjung Karang, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kapar, Klang, Kota Raja, Shah Alam, Petaling Jaya, Sungai Buloh, Pandan, Gombak dan Selayang.

"Bilik operasi bagi kawasan-kawasan terlibat akan diaktifkan mengikut Parlimen dan diurus Jabatan Amal kawasan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Hanafi berkata, Pemuda Pas mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan daripada pelbagai pihak untuk disalurkan kepada rakyat khususnya air mentah dan bersih.

"Sekadar ini dahulu kami Pemuda Pas Selangor mampu berusaha membantu rakyat yang terlibat dalam krisis air pada kali ini.

"Segala maklumat berkaitan operasi akan disalurkan dalam Facebook rasmi Jabatan Amal Malaysia Selangor dan Facebook rasmi Dewan Pemuda Pas Selangor," katanya.

Terdahulu, sebanyak 1,139,008 juta akaun pengguna di 1,279 kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor berdepan gangguan bekalan air bermula petang ini.

Artikel Berkaitan:

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd menerusi satu kenyataan memaklumkan, ia merangkumi kawasan Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.