Tahap pencemaran air di empat LRA catat penurunan: Air Selangor

Walaupun tahap pencemaran bau mencatatkan penurunan, namun kesemua LRA masih belum beroperasi berikutan pencemaran sumber air mentah yang dikesan awal pagi tadi.
Walaupun tahap pencemaran bau mencatatkan penurunan, namun kesemua LRA masih belum beroperasi berikutan pencemaran sumber air mentah yang dikesan awal pagi tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tahap pencemaran bau di Muka Sauk Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang setakat 7 malam ini, mencatat penurunan kepada 4 TON manakala LRA Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 pula pada tahap 3 TON.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri dalam kenyataan hari ini berkata, berikutan bacaan terkini itu, kesemua LRA masih belum beroperasi berikutan pencemaran sumber air mentah yang dikesan awal pagi tadi.

"Henti tugas ini menyebabkan Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 2,857 juta liter sehari sehingga menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual kepada pengguna di 1,279 kawasan,” katanya.

Mengulas lanjut, Elina memaklumkan bahawa sebanyak 84 lori tangki air digerakkan ke premis-premis kritikal serta kawasan perumahan yang terjejas.

Katanya, bekalan air alternatif boleh diperoleh di 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang disediakan bermula jam 8 malam.

Elina berkata, antara PKS berkenaan adalah di Petaling iaitu PKS Kota Damansara dan PKS Jalan Harapan Seksyen 17, di Klang (Masjid As-Saadah dan Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam), di Gombak (Jalan 23/56 AU3 Keramat dan AEON Big Ampang) manakala di Kuala Lumpur (parkir Masjid Wilayah Persekutuan dan sebelah padang bola Hospital Kuala Lumpur).

Sementara itu, antara lokasi pili awam pula adalah di Jalan Merah Silu dan Jalan USJ 2/2 (Petaling), Lembah Jaya Selatan dan AU3 Keramat (Gombak), Persiaran Setia Murni (Klang), Padang Merbok dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (Kuala Lumpur) dan Stesen Bas Tanjung Karang (Kuala Selangor).

“Air Selangor menasihatkan pengguna untuk mematuhi peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan air daripada lori tangki dan pili awam yang disediakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Maklumat lanjut berkenaan gangguan bekalan air tidak berjadual akan dimaklumkan dari masa ke masa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang kami di www.airselangor.com.