Bantu rakyat hadapi tekanan kewangan

Langkah berkenaan seharusnya diambil kira kerana ramai rakyat ketika ini masih merasai impak negatif penularan pandemik Covid-19. Gambar kecil: Ahmed Razman dan Nor Azira
Langkah berkenaan seharusnya diambil kira kerana ramai rakyat ketika ini masih merasai impak negatif penularan pandemik Covid-19. Gambar kecil: Ahmed Razman dan Nor Azira
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa pakar ekonomi bersetuju supaya moratorium dilanjutkan bagi membantu rakyat yang sedang menghadapi tekanan kewangan ketika ini.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, langkah berkenaan seharusnya diambil kira kerana ramai rakyat ketika ini masih merasai impak negatif penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Jelasnya, langkah yang hanya menumpukan bantuan kepada golongan B40 tidak mencukupi sekiranya mereka mahu memastikan belanjawan yang dilaksanakan itu mampu memelihara kebajikan keseluruhan rakyat Malaysia.

“Ini kerana kerajaan pada ketika ini hanya memberi kemudahan kepada mereka yang mempunyai pendapatan RM5,000 ke bawah sahaja sedangkan masih ramai golongan pertengahan yang tiada pendapatan boleh guna ketika ini.

“Apa yang dimaksudkan dengan tiada pendapatan boleh guna ialah perbelanjaan bagi individu itu melebihi pendapatan yang mereka miliki," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Jelasnya, tanpa kemudahan moratorium dalam Belanjawan 2021 pastinya memberikan tekanan dan kesan kepada rakyat yang tinggal di bandar.

“Bagi individu yang duduk di bandar, walaupun mereka memiliki pendapatan sebanyak RM6,000 tetapi ia tidak mencukupi kerana faktor kos sara hidup yang tinggi.

“Selain itu, mungkin juga ada sesetengah mereka yang memiliki komitmen yang tinggi seperti memiliki bilangan anak yang ramai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Individu atau isi rumah berpendapatan tinggi turut terjejas apatah lagi golongan B40, M40 malah T20 pun terjejas pendapatan mereka.
Individu atau isi rumah berpendapatan tinggi turut terjejas apatah lagi golongan B40, M40 malah T20 pun terjejas pendapatan mereka.

Mengulas mengenai kemampuan pihak bank untuk memberikan moratorium sehingga tahun hadapan, Razman berkata, masih terdapat ruang yang membolehkan institusi kewangan untuk memberikan kemudahan tersebut kepada para peminjam.

“Kebanyakan bank masih merekodkan keuntungan pada suku kedua tahun ini.

“Oleh itu, ia menunjukkan masih ada ruang yang membolehkan pihak bank supaya melanjutkan pemberian moratorium hingga tahun hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Nor Azira Ayob berkata, moratorium perlu dilanjutkan kerana mengambil kira keadaan ekonomi semasa negara dan dunia yang masih terjejas ekoran perkembangan semasa penularan Covid-19 yang semakin menunjukkan peningkatan.

“Bahkan individu atau isi rumah yang berpendapatan tinggi turut terjejas apatah lagi golongan yang berpendapatan rendah seperti golongan B40, M40 malah T20 pun terjejas pendapatan mereka.

“Bagi yang bekerja sendiri, pendapatan mereka lebih terjejas kerana mereka perlu tetap perlu membayar hutang bank seperti bayaran rumah, kereta, pinjaman peribadi dan Amanah Saham Bumiputera,” ujarnya.

Nor Azira berkata lagi, terdapat juga pekerja ketika ini mengalami pemotongan gaji di samping mereka yang masih belum mendapat gaji bulanan.

“Disebabkan itu, moratorium perlu dilanjutkan dan diberikan kepada sesetengah golongan yang betul-betul memerlukan kerana ia secara tidak langsung akan mengurangkan beban kewangan mereka di saat genting seperti hari ini,” katanya.