Sekolah tutup bukan waktu guru bercuti

Dr Habibah mengumumkan tarikh baharu peperiksaan awam ketika sesi taklimat bersama media mengenai pengoperasian institusi pendidikan di Kementerian Pendidikan di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Dr Habibah mengumumkan tarikh baharu peperiksaan awam ketika sesi taklimat bersama media mengenai pengoperasian institusi pendidikan di Kementerian Pendidikan di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Penutupan semua sekolah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga tamat penggal tahun ini bukanlah waktu untuk guru bercuti, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim.

Beliau berkata, dalam tempoh ini para guru perlu meneruskan proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) sehingga tamat penggal iaitu pada 17 dan 18 Disember ini.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan garis panduan khusus bagi semua guru melaksanakan pembelajaran secara ‘home-based learning’ mengikut kesesuaian serta garis panduan mengenai Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) boleh dicapai oleh guru-guru menerusi portal KPM.

“Ada beberapa kaedah lain juga yang boleh guru terapkan seperti penggunaan buku teks bagi memastikan proses pembelajaran dapat dilakukan,” katanya pada taklimat media di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), di sini hari ini.

Beliau seterusnya mengingatkan semua guru agar berada di stesen tempat bertugas masing-masing sepanjang tempoh pelaksanaan PKPB, manakala pentadbir sekolah sekolah pula diminta memastikan guru dan murid laksanakan PdP menerusi PdPR.

Habibah berkata, proses pembelajaran perlu terus dilakukan kerana jika tidak, ia akan menjejaskan cara pemikiran serta tahap keyakinan pelajar.

“Pemakluman telah diedarkan kepada sekolah menerusi Jabatan Pendidikan agar sesi pembelajaran terus dilaksanakan," katanya dan menambah guru-guru dibenarkan untuk menggunakan kemudahan di sekolah dalam tempoh pelaksanaan PKPB.

Beliau berkata, guru-guru juga boleh pergi ke sekolah semasa tempoh berkenaan, cuma mereka perlu mendapat kelulusan dan penjadualan oleh ketua jabatan, pengetua atau guru besar masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Ahad lepas Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin mengumumkan semua sekolah di seluruh negara ditutup mulai 9 November hingga ke tarikh akhir sesi persekolahan tahun ini.

Menurut Radzi, keputusan itu dibuat susulan pelaksanaan PKPB melibatkan semua negeri di Semenanjung kecuali Kelantan, Pahang dan Perlis yang bermula 9 November sehingga 6 Disember depan bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19.

- Bernama