X

Kindly register in order to view this article
!

Pekerja kilang bawa 'pulang' Covid-19 ke Kedah

Muhammad Sanusi Md Nor
A
A

ALOR SETAR - Terdapat 77 kes positif koronavirus (Covid-19) yang dikesan daripada Kluster Bayan, Permatang, Intan dan Alma di Pulau Pinang membabitkan pekerja kilang yang pulang ke kampung mereka di Kedah.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, selepas negeri ini berjaya mengawal penularan beberapa kluster seperti Telaga dan Sungai, kini mereka perlu berdepan kluster yang dibawa dari negeri berhampiran pula.

Menurutnya, pihaknya berharap setiap pekerja yang melakukan ujian saringan Covid-19 dan diarahkan menjalani kuarantin perlu terus kekal di asrama mereka di Pulau Pinang bagi mengelakkan penularan pandemik berlaku.

"Selepas banyak kilang di Pulau Pinang terpaksa ditutup akibat berlakunya penularan pandemik Covid-19, jadi ada pekerja yang sepatutnya kuarantin di asrama balik ke kampung sehingga ke Kubang Pasu sebelum mereka dikesan positif.

"Kita sudah berjaya mengawal kes Covid-19 seperti Kluster Telaga dan Sungai serta Tembok pula hampir tamat, tetapi kini kita terpaksa pula berhadapan kes 'import' dari negeri jiran pula," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, orang ramai yang tinggal di Sungai Petani, Kulim dan Bandar Baharu tetapi bekerja di Pulau Pinang perlu mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan berhati-hati semasa menggunakan pengangkutan awam.

Jelasnya, sebagai contohnya pekerja kilang yang berulang-alik setiap hari ke Pulau Pinang perlu memakai pelitup muka sebelum menaiki bas dan sepanjang berada di dalam pengangkutan tersebut.

"Kita tidak mahu pekerja ini membawa pulang penyakit dan membahayakan pula ahli keluarga, jiran dan rakan yang sihat di Kedah," katanya.

Hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan Pulau Pinang mencatatkan 27 kes baharu aktif Covid-19 berbanding hanya tiga kes baharu di Kedah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!