X

Kindly register in order to view this article
!

Dua akta perlu dipinda perkasa PLANMalaysia, kata Zuraida

Zuraida ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Kebangsaan 2020 yang berlangsung secara maya di sebuah hotel hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melihat keperluan untuk meminda dua akta iaitu Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) bagi memperkasakan peranan serta bidang penguatkuasaan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, PLANMalaysia perlu diberi kuasa penguatkuasaan supaya perancangan yang dibuat di peringkat Persekutuan dapat dilaksanakan selain memastikan pembangunan negara lebih mampan dan tidak menjejaskan perancangan jangka panjang.

Menurutnya, perancangan bandar oleh PLANMalaysia ketika ini sering diabaikan atau tidak dipertimbangkan dengan serius oleh kerajaan negeri mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum meluluskan sesuatu projek pembangunan.

"Akta harus dipinda untuk memberikan lebih kuasa supaya pemantauan dan tindakan dapat diambil terhadap agensi ataupun individu yang tidak mengikut perancangan yang telah dirangka pihak PLANMalaysia.

"Saya lihat bahawa perancangan asal yang dibuat PLANMalaysia di peringkat Persekutuan, apabila ia turun ke peringkat negeri dan kerajaan tempatan, ia cenderung menyimpang daripada perancangan asal. Contohnya, tempat itu dirancang nak buat taman permainan, mungkin ditukar dengan kompleks beli-belah.

"Kita juga harus memikirkan satu kaedah yang mana apa penetapan di peringkat Persekutuan, PLANMalaysia ada kuasa untuk memastikan mereka (PBT dan kerajaan negeri) mengikut perancangan asal, sekiranya tidak, mereka harus rujuk semula kepada jabatan ini," katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Tahun 2020 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zuraida berkata selaku agensi yang bertanggungjawab dalam menentukan penggunaan tanah dalam negara, PLANMalaysia juga harus memberi penekanan kepada pembangunan tanah pertanian.

"PLANMalaysia mesti menetapkan di mana kedudukan tanah agar ada kesinambungan dan tidak dikacau untuk pembangunan lain agar Malaysia mampu menampung keperluan makanan asas kita dan tidak bergantung kepada import," katanya.

Pada majlis hari ini, Anugerah Khas Yang Berhormat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan diberikan kepada Komuniti Rukun Tetangga Al-Husna, Seksyen 20, Shah Alam manakala Penghargaan Bandar Mampan 2020 pula dianugerahkan kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia disambut pada 8 Nov setiap tahun di seluruh dunia dan Malaysia telah menyambutnya selama 32 tahun sejak 1988. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!