X

Kindly register in order to view this article
!

JKDM rampas RM1.1 juta rokok seludup

Mohd Rakbi Mat Saud
A
A

KOTA BHARU- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas pelbagai jenama rokok seludup berjumlah RM1.1 juta dengan nilaian cukai RM6.6 juta sepanjang Januari tahun ini sehingga kelmarin.

Pengarahnya, Mohd Rakbi Mat Saud berkata, ia membabitkan 126 kes rampasan di sempadan negeri dan juga di beberapa kawasan termasuk Bachok dan Pasir Puteh yang mencatatkan antara jumlah yang tertinggi.

Menurutnya, jumlah terbabit juga menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang turut mencakupi penguatkuasaan agensi terlibat di sempadan negara termasuk kecekapan Pasukan Gerakan Am.

“Meskipun dalam tempoh PKP namun penyeludup ini sentiasa bijak mencari modus operandi baharu bagi mengelak daripada ditangkap.

“Bagaimanapun berdasarkan kecekapan risikan dan maklumat awam, kegiatan terbabit tumpas selain barangan seludup ini dapat dirampas,” katanya kepada pemberita hari ini ketika ditemui sempena Majlis Jabatan Kastam Kelantan Bersama Media, di sini hari ini.

Mohd Rakbi berkata, memandangkan kawalan yang semakin ketat di pintu masuk antarabangsa ke negara ini termasuk pintu masuk negeri, mereka yang terlibat dengan penyeludupan ini menggunakan modus operandi baharu termasuklah mengambil rokok di tengah-tengah laut.

“Individu tertentu akan menggunakan perahu kecil dan mengambil rokok dari kapal atau bot-bot besar di tengah-tengah laut pada waktu-waktu tertentu.

“Taktik sebegini sudah dikesan sebelum PKP lagi cuma ia semakin rancak sejak kebelakangan ini, namun ia juga berjaya dihidu pihak berkuasa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Rakbi berkata, kebanyakan rampasan yang dilakukan pihaknya adalah tanpa tangkapan individu terlibat dan hanya rokok ditemui pihak berkuasa.

“Sukar untuk kita mendakwa mereka terlibat kerana rokok-rokok ini tidak diletakkan di dalam premis bersama dengan mereka.

“Barangan ini disembunyikan di kandang kambing, di bangsal-bangsal buruk tanpa penghuni dan juga diletakkan di kawasan kebun-kebun orang lain,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Rakbi turut memberi amaran kepada penyeludup ataupun individu yang melakukan kegiatan bertentangan dengan undang-undang negara untuk menghentikan perbuatan tersebut kerana mereka sentiasa diperhatikan oleh pihak berkuasa.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!