Operasi carilamat dua nelayan hilang ditamatkan.

Muhammad Aminullah salah seorang mangsa yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari bot ketika menangkap ikan di lokasi kira-kira 24 batu nautika Timur Kuantan, kelmarin.
Muhammad Aminullah salah seorang mangsa yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari bot ketika menangkap ikan di lokasi kira-kira 24 batu nautika Timur Kuantan, kelmarin.
A
A
A

KUANTAN - Operasi carilamat dua nelayan yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari bot ketika menangkap ikan dalam kejadian berasingan di negeri ini pada 2 dan 3 November lalu ditamatkan sepenuhnya kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Amran Daud berkata, operasi mengesan mangsa di perairan Kuantan dan di perairan Endau dihentikan berikutan tiada sebarang petunjuk positif berhubung kedua-dua mangsa selepas lima hari operasi carilamat digerakkan.

Menurutnya, pemantauan berterusan tetap akan dilaksanakan oleh aset-aset Maritim Malaysia dalam rutin operasi harian.

"Operasi carilamat sebelum ini melibatkan tiga kapal serta sebuah pesawat udara Maritim Malaysia dibantu dua pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta pesawat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Pada masa sama, kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sebuah bot dari Angkatan Pertahanan Awam (APM), tiga buah bot Pasukan Polis Marin (PPM) Kuantan, sebuah bot dari Jabatan Perikanan dan Taman Laut dan lebih 10 bot nelayan tempatan turut terlibat dalam operasi tersebut," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Amran berkata, pelbagai kaedah digunakan untuk operasi pencarian kedua-dua mangsa termasuk rondaan di permukaan air menggunakan kapal, bot serta bot nelayan tempatan selain tinjauan dari udara namun gagal menemui sebarang petunjuk.

"Keluarga kedua-dua mangsa telah dimaklumkan berkenaan usaha-usaha pencarian serta penamatan operasi carilamat ini.

"Pihak Maritim Malaysia selaku agensi peneraju operasi carilamat ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua agensi dan nelayan tempatan yang terlibat sepanjang misi pencarian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Amrah turut menasihatkan komuniti maritim agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dan sentiasa memakai jaket keselamatan semasa di laut serta peka dengan perubahan semasa cuaca setiap kali turun ke laut bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

"Mereka juga diingatkan supaya menyalurkan maklumat segera sekiranya berlaku sebarang kemalangan atau kecemasan di laut.

"Segala aduan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 atau ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 dan Pusat Sub Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan di talian 09-5717368," katanya

Dalam kejadian 2 November lalu, seorang nelayan tempatan, Mohd Harif Mohd Rosdi, 38 dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika menangkap ikan di lokasi kira-kira 16 batu nautika dari timur Kuala Endau,Rompin.

Sementara itu, kejadian kedua pada hari berikutnya juga melibatkan nelayan tempatan, Muhammad Aminullah Azmi, 29 yang mengalami nasib sama ketika menangkap ikan di lokasi kira-kira 24 batu nautika Timur Kuantan.