[VIDEO] Tanah runtuh: Kerajaan Perak arah siasatan menyeluruh

The Banjaran Hotsprings Retreat mengesahkan satu daripada vilanya terjejas akibat kejadian tanah runtuh awal pagi hari ini. Gambar kecil: Ahmad Faizal Azumu
The Banjaran Hotsprings Retreat mengesahkan satu daripada vilanya terjejas akibat kejadian tanah runtuh awal pagi hari ini. Gambar kecil: Ahmad Faizal Azumu
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak telah mengarahkan satu siasatan menyeluruh dilakukan di lokasi runtuhan tanah di sebuah pusat peranginan di Tambun di sini yang mengorbankan dua nyawa pagi tadi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, difahamkan pergerakan tanah masih berlaku di lokasi runtuhan itu.

"Pegawai dari Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak sedang memantau dan mencadangkan langkah untuk menstabilkan struktur cerun.

"Pegawai Daerah Kinta, Meor Hezbullah Meor Abd Malik serta wakil dari Pejabat Menteri Besar telah berada di lokasi bagi membantu jabatan dan agensi terlibat," katanya.

Kedua-dua mangsa yang ditemukan dalam runtuhan pagi tadi.
Kedua-dua mangsa yang ditemukan dalam runtuhan pagi tadi.

Menurutnya, kerajaan negeri menyerahkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk menjalankan siasatan susulan tragedi terbabit.

"Semua langkah ini bagi memastikan kejadian sama tidak berulang," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Faizal turut merakamkan ucapan takziah kepada anggota keluarga kedua-dua mangsa yang terkorban.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua anggota pasukan penyelamat yang telah bekerja keras mengesan mayat kedua-dua mangsa sejak dimaklumkan tentang tragedi itu awal pagi tadi," katanya.

Terdahulu media melaporkan dua individu termasuk seorang wanita yang menginap di hotel pusat peranginan itu ditemukan meninggal dunia selepas tertimbus dalam runtuhan tanah.

Kejadian itu disedari pekerja hotel kira-kira jam 1 pagi dan kedua-dua mangsa masing-masing berusia 39 dan 32 tahun berjaya ditemukan pada jam 9.55 pagi oleh pasukan penyelamat.