'Kerajaan Selangor gagal urus air '

Rizam Ismail
Rizam Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor didakwa gagal dalam mengurus dan menangani isu berkaitan pencemaran sehingga mengakibatkan gangguan bekalan air.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor, Rizam Ismail berkata, masalah gangguan bekalan air memperlihatkan kegagalan kerajaan negeri Selangor yang sekadar retorik semata-mata.

"Masalah gangguan bekalan air di Selangor bukan pertama kali, bulan September, Oktober dan November, hampir berkali-kali berlaku sehingga mengakibatkan rakyat tertekan.

"Ini menunjukkan kegagalan kerajaan negeri dalam mengurus masalah ini, mereka hanya pandai berbelanja namun sayangnya mereka gagal untuk tangani," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, seharusnya kerajaan negeri mempunyai rangka yang strategik dalam menghadapi masalah pencemaran air.

"Apa yang mereka tahu sekadar umum dan bentang tentang perancangan, namun tiada satu pun solusi mengenai perancangan terkini sekiranya berlaku gangguan bekalan air, dari segi jumlah lori tangki, bantuan dan sebagainya.

"Apa yang berlaku ini melibatkan jutaan pengguna, apa mereka tidak sedar akan masalah ini, janganlah hanya sekadar pandai bercakap namun dari segi pengurusan gagal," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Lebih 1.13 juta akaun pengguna terjejas bekalan air di KL, Selangor

Sebanyak 1,139,008 juta akaun pengguna di 1,279 kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor berdepan gangguan bekalan air bermula petang ini.

Artikel Berkaitan:

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd menerusi satu kenyataan memaklumkan, ia merangkumi kawasan Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Klang, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Dalam pada itu, Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, SSP 1, 2, dan 3 telah dihenti tugas pada jam 12.20 hingga 12.45 tengah hari tadi.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerusi kenyataan yang dimuat naik melalui laman Facebook rasminya memaklumkan henti tugas ini disebabkan oleh pencemaran bau seakan-akan solvent telah dikesan di Sungai Selangor.