X

Kindly register in order to view this article
!

Beri alasan tidak munasabah untuk rentas negeri

Shahrul Lailli ketika meninjau sekatan jalan raya di Plaza Tol Ayer Keroh, Melaka hari ini.
A
A

ALOR GAJAH - Ingin melawat sanak saudara dan mahu membeli barang keperluan antara alasan yang diberikan untuk merentas negeri ketika melalui pemeriksaan sekatan jalan raya di negeri ini sebelum diminta berpatah balik.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Shahrul Lailli Masduki berkata, disebabkan alasan yang tidak munasabah seperti itu dan gagal menunjukkan surat kebenaran bekerja menyebabkan sebanyak 87 kenderaan diarahkan berpatah balik daripada 12,150 jumlah kenderaan yang diperiksa sejak semalam.

Menurutnya, lima sekatan diadakan di Alor Gajah dan tiga di Jasin melibatkan seramai 144 anggota dan pegawai termasuk polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Bermula semalam, Polis Melaka telah mengadakan sekatan jalan raya yang lokasinya di jalan-jalan masuk dan keluar negeri ini dan beroperasi 24 jam.

"Lapan lokasi itu masing-masing dijalankan di Tol Simpang Ampat, Tol Ayer Keroh, Tol Lipat Kajang, Cherana Putih, Kuala Linggi, Pulau Sebang di Alor Gajah serta Kesang Pajak dan Sungai Rambai di Jasin dengan kekuatan 1,236 orang petugas termasuk 236 orang petugas termasuk sekatan jalan raya secara bergerak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau sekatan jalan raya di Plaza Tol Ayer Keroh, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Melaka, Superintendan V Chinniah dan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu.

Tambahnya, polis kontinjen Melaka juga menerima 4,073 permohonan untuk merentas negeri dan daerah selain 14 individu telah diambil tindakan kompaun atau ketidakpatuhan prosedur operasi standard Majlis Keselamatan Negara (MKN) di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Berjangkit 2020 (Akta 342).


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!