Penoreh getah palsukan surat guna nama Agong ditahan

Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN- Seorang penoreh getah ditahan berhubung kes pemalsuan surat menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi urusan pembalakan dan perlombongan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek berusia 51 tahun berasal dari Sik, Kedah itu ditahan di pekarangan Balai Polis Gurun, Kedah hari ini.

Menurutnya, penahanan suspek susulan satu laporan polis yang dibuat oleh Pengelola Bijaya Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman (pengadu) pada 15 Julai lalu berhubung pemalsuan surat tersebut.

“Suspek dikesan memalsukan surat berkenaan bagi mendapatkan kebenaran menjalankan kerja-kerja mengeluarkan kayu balak, kayu jaras dan perlombongan di dalam kawasan hutan rizab Hulu Jerai di Sungai timah Mukim Batu Yon, Lipis atas nama sebuah syarikat.

“Pengadu telah membuat semakan terhadap surat tersebut dan memaklumkan tiada sebarang permohonan dibuat syarikat tersebut.

“Selain ini pengadu juga mengesahkan Pejabat Sultan Pahang tidak pernah mengeluarkan sebarang surat sokongan bagi kerja-kerja yang dimaksudkan,” katanya.

Mohd Wazir berkata, lelaki itu akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis untuk siasatan.

“Suspek dijangka dituduh di Mahkamah Sesyen Raub esok (hari ini) mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda,” katanya

Artikel Berkaitan: