X

Kindly register in order to view this article
!

Enam ahli sindiket dadah termasuk remaja ditahan

Hasanuddin (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di Kubang Pasu, Alor Setar semalam.
A
A

ALOR SETAR - Enam ahli sindiket dadah warga tempatan termasuk seorang remaja berusia 16 tahun ditahan dan dadah seberat 23.94 kilogram (kg) bernilai hampir setengah juta dirampas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tanah Merah, Jitra, di sini semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kesemua mereka termasuklah tiga wanita berusia antara 16 hingga 34 tahun ditahan dalam operasi lebih kurang jam 3.45 pagi dilakukan Bahagian Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

"Melalui pemeriksaan, kita menemui 12 bungkusan plastik lut sinar berisi dadah disyaki heroin dianggar seberat 5.4401 kg di dalam sebuah beg kanvas berzip atas lantai ruang tamu rumah itu.

"Turut ditemui, satu bungkusan plastik warna hijau mengandungi satu bungkusan plastik berisi dadah disyaki syabu seberat 1.0142 kg dan 24 bungkusan plastik lut sinar berisi dadah disyaki syabu seberat 0.9052 kg," katanya pada sidang akhbar di IPK Kedah, di sini hari ini.

Katanya, turut disita ialah empat buah kereta, tiga buah motosikal, wang tunai sebanyak RM10,260 dan gelang tangan, rantai, cincin serta loket dipercayai emas," katanya.

"Kemudiannya, kita melakukan pemeriksaan lanjut ke atas sebuah kereta jenis Proton Satria Neo warna hitam yang diparkir di tepi jalan berdekatan rumah itu dan menemui satu kotak kertas.

"Sebanyak 15 bungkusan plastik lut sinar berisi dadah jenis heroin dianggarkan seberat 6.75658 kg, satu beg kanvas mengandungi 15 bungkusan plastik lut sinar berisi dadah disyaki heroin 6.7571 kg dan satu beg galas yang dalamnya ada tiga bungkusan plastik warna hijau berisi dadah disyaki syabu seberat 3.0469 kg ditemui," katanya.

Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhan dadah seberat 23.94 kg dipercayai untuk pasaran sekitar Kedah dianggarkan sebanyak RM576,000 dan merupakan rampasan terbesar untuk daerah Kubang Pasu pada tahun ini.

Katanya, siasatan awal mendapati remaja lelaki itu sudah tidak bersekolah dan menjual nasi lemak namun tidak memiliki rekod kesalahan lampau dan ujian saringan air kencing adalah negatif.

"Dua daripada lima individu lain memiliki beberapa rekod kesalahan lampau termasuklah berkaitan jenayah dan dadah," katanya.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 16 November depan di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan prosedur jenayah bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!