[VIDEO] 4,822 permohonan rentas negeri, daerah diluluskan

Ayob Khan (kiri) memeriksa dokumen perjalanan ketika sekatan jalan raya di Plaza Tol Skudai, Johor Bahru hari ini.
Ayob Khan (kiri) memeriksa dokumen perjalanan ketika sekatan jalan raya di Plaza Tol Skudai, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU- Polis Johor menerima 4,898 permohonan rentas negeri dan daerah pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchy berkata, dari jumlah itu pihaknya meluluskan 4,822 permohonan manakala 76 lagi ditolak.

Katanya antara sebab permohonan permit rentas negeri dan daerah ditolak ialah destinasi yang dituju merupakan kawasan zon merah kes wabak koronavirus ( Covid-19).

"Pada hari pertama PKPB semalam, sebanyak 68 kenderaan yang cuba merentas negeri tanpa sebarang permit dan alasan yang kukuh diarah berpatah balik.

"Berkenaan permohonan permit rentas negeri dan daerah, tiada masalah, tidak sampai beratur untuk membuat permohonan. Saya telah arahkan ketua-ketua polis daerah dan ketua balai untuk permudahkan urusan permohonan ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan sekatan jalan raya di Plaza Tol Skudai, di sini hari ini.

Menurut Ayob Khan, sebanyak 49 sekatan jalan raya dilaksanakan di negeri ini merangkumi 36 sekatan PKPB dan 13 sekatan Op Benteng dengan penglibatan 595 pegawai dan anggota polis serta 12 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Katanya, polis akan meningkatkan penguatkuasaan pematuhan PKPB di kawasan orang ramai khususnya menjelang perayaan Deepavali.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan tegas akan diambil termasuk melaksanakan tangkapan sekiranya orang ramai masih ingkar dan tidak mematuhi prosedur operasi standard ( SOP) ditetapkan," katanya.