X

Kindly register in order to view this article
!

Ribut tropika: Komuniti maritim di Sabah dinasihat berhati-hati

Komuniti maritim di Sabah yang menjalankan aktiviti di laut dinasihatkan berhati-hati dengan keadaan cuaca di laut ketika ini.
A
A

KOTA KINABALU - Komuniti maritim di Sabah dinasihatkan supaya berhati-hati ketika melakukan aktiviti di laut terutama di perairan Kudat.

Ia berikutan ribut tropika yang berada di kedudukan kira-kira 120 kilometer (km) ke timur laut dari Nha Trang, Vietnam iaitu kira-kira 929km ke barat laut dari Kudat.

Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, nasihat itu mengambil kira kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berhubung kejadian ribut itu hari ini.

"Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu menasihatkan komuniti maritim di negeri ini berwaspada dengan keadaan cuaca semasa yang melanda perairan Sabah.

"Ribut tropika dengan kelajuan maksimum adalah 65km per jam dan keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang, laut bergelora dan ketinggian ombak sekitar 2.5 hingga 3.5 meter di kawasan perairan Laut China Selatan," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, keadaan itu amat berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Sehubungan itu, Mohd Rosli menasihatkan semua komuniti maritim untuk terus peka dengan keadaan cuaca semasa dan mengambil berat mengenai keselamatan diri dan orang lain terutama kepada bot nelayan tempatan.

"Semua komuniti yang melakukan aktiviti di laut dinasihatkan supaya memakai jaket keselamatan, pastikan bot dilengkapi dengan alat keselamatan seperti boya keselamatan, hon keselamatan dan wisel dan alat kecemasan iaitu alat pengesan lokasi (PLB).

"Selain itu, dinasihatkan juga kepada komuniti maritim untuk memeriksa keadaan bot dan feri agar sentiasa selamat sebelum memulakan pelayaran," katanya.

Mohd Rosli turut memaklumkan jika didapati ada yang tidak patuh terhadap aspek keselamatan, ia akan menyebabkan pengusaha dan bot dikenakan tindakan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1960.

"Undang-undang di bawah akta ini mewajibkan semua penumpang dan semua bot tidak kira saiz perlu mempunyai jaket keselamatan.

"Jika ada pengendali bot yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan akan dikenakan tindakan undang-undang dan boleh dikompaun serta tindakan mahkamah akan diambil," katanya.

Terdahulu, beliau turut memaklumkan sebanyak 33 kes mencari dan menyelamat (SAR) direkodkan oleh MRSC Sabah sepanjang tahun ini.

"Daripada jumlah itu, 19 daripadanya adalah disebabkan oleh keadaan laut yang berbahaya," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!