PKPD Flat Sungai Emas tamat hari ini

PKPD secara bersasar di Flat Sungai Emas ditamatkan sejak tengah malam tadi setelah tiada kes positif baharu Covid-19 dikesan.
PKPD secara bersasar di Flat Sungai Emas ditamatkan sejak tengah malam tadi setelah tiada kes positif baharu Covid-19 dikesan.
A
A
A

BANTING - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Bersasar di Flat Sungai Emas di sini ditamatkan sejak tengah malam tadi, kata Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim.

Beliau berkata, PKPD di kawasan itu tamat setelah pemantauan pihak berkuasa mendapati tiada kes positif baharu koronavirus (Covid-19) dikesan di lokasi berkenaan dan jumlahnya kekal 43 individu dijangkiti sejak 5 November lalu.

Jumlah kes positif Covid-19 itu melibatkan 41 rakyat tempatan dan dua warga asing dengan 13 orang daripadanya adalah kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

“Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di lokasi tersebut juga telah menerima 400 bakul makanan untuk diagihkan kepada penduduk terlibat sepanjang penguatkuasaan PKPD itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kawalan keselamatan berpagar dikenakan ke atas kawasan di tujuh blok Flat Sungai Emas dan perumahan teres di Jalan Emas 31 dan 32 Taman Sungai Emas, berkuat kuasa 28 Oktober lalu susulan peningkatan kes positif Covid-19.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata, sebanyak 2,909 permohonan rentas negeri diterima pihaknya sejak 28 Oktober lalu sehingga semalam susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor.

Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Langat, Dr Wan Rahman Salleh berkata, lebih 30 premis makanan dan sebuah kilang di daerah ini diarah tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard PKPB dengan tidak mematuhi penjarakan fizikal serta tiada alat pengimbas suhu badan. - Bernama

Artikel Berkaitan: