[VIDEO] Lebih 1.13 juta akaun pengguna terjejas bekalan air di KL, Selangor

Lebih 1.1 juta pengguna terjejas bekalan air di KL, Selangor.
Lebih 1.1 juta pengguna terjejas bekalan air di KL, Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Sebanyak 1.13 juta akaun pengguna di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat bakal berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA) akibat insiden pencemaran bau.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, buat masa ini, usaha bagi mencairkan bahan pelarut dan 'flushing' telah dilaksanakan di Sungai Selangor oleh pihak terlibat.

Beliau berkata, air dari Empangan Sungai Selangor berkapasiti 300 juta liter sehari (JLH) dan Empangan Sungai Tinggi sebanyak 500 JLH telah dilepaskan bagi mengatasi permasalahan tersebut.

"Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) turut melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam KL Larut dengan kapasiti 192 JLH untuk tujuan yang sama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, LUAS memaklumkan mengenai insiden pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor yang menyebabkan henti tugas LRA Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang pada jam 12.45 tengah hari tadi.

Mengulas lanjut, Elina berkata, sehingga jam 2.30 petang tadi, pencemaran di muka sauk LRA Rantau panjang adalah pada tahap 8 TON dan LRA Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 pula pada tahap 4 TON.

"Air Selangor amat memahami situasi pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini dengan mengambil segala usaha bagi meminimumkan impak gangguan kepada mereka yang terjejas," katanya.

Tambahnya, maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual akan dimaklumkan dari masa ke masa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Empat loji rawatan air di Selangor dihenti tugas