Ketua polis letak jawatan selepas Biden menang

Gambar menunjukkan wajah bekas Ketua Polis Marshall, Lang Holland di laman sosial Parler. - Foto Parler
Gambar menunjukkan wajah bekas Ketua Polis Marshall, Lang Holland di laman sosial Parler. - Foto Parler
A
A
A

LOS ANGELES - Ketua Polis di sebuah bandar kecil di negeri Arkansas, selatan negara Amerika Syarikat (AS), Lang Holland telah meletakkan jawatan pada hujung minggu lalu selepas menggesa keganasan dilakukan ke atas anggota-anggota parti Demokrat di media sosial.

Sebelum ini, Holland melemparkan kemarahan di media sosial berikutan kemenangan Joe Biden menewaskan Presiden Donald Trump daripada parti Republikan dalam pilihan raya Presiden negara berkenaan.

Beliau dilaporkan melemparkan kemarahan itu menerusi laman media sosial Parler.

"Jangan biarkan mereka melupakan bahawa mereka ialah pengkhianat dan tidak mempunyai hak untuk hidup di dalam Republik ini selepas apa yang mereka telah lakukan," kata satu kenyataannya yang ditangkap layar di media sosial.

Kenyataan itu kemudian didapati tidak ada lagi di media sosial tersebut semalam.

"Mati untuk semua Demokrat Marxis," tambah kenyataan itu lagi.

Satu lagi kenyataannya disertakan dengan gambar bekas Presiden AS, Barack Obama dan mantan Setiausaha Negara, Hillary Clinton yang memakai pakaian penjara.

Terdapat keterangan gambar yang menyatakan: "Saya berdoa semua mereka yang terdapat dalam gambar ini digantung."

Artikel Berkaitan:

Holland meletakkan jawatan selepas penduduk tempatan marah dengan tindakannya.

Beliau ialah ketua polis bandar Marshall yang terletak 160 kilometer ke utara ibu kota negeri itu, Little Rock.

"Komuniti Marshall tidak menyokong atau membiarkan buli atau ancaman keganasan dilakukan ke atas sesiapa sahaja yang mempunyai mana-mana fahaman politik," kata Datuk Bandar Marshall, Kevin Elliott. - AFP