Waris budak tunggang motosikal disaman

Aksi kanak-kanak menunggang motosikal itu tular di laman sosial. Gambar kecil: Ismasuhaimi Shariff
Aksi kanak-kanak menunggang motosikal itu tular di laman sosial. Gambar kecil: Ismasuhaimi Shariff
A
A
A

ALOR SETAR - Video kejadian seorang kanak-kanak berusia bawah 10 tahun yang menunggang motosikal di simpang tiga Kampung Paya Chegar, Jitra pada Ahad lalu harus menjadi pengajaran kepada ibu bapa mahupun waris agar mengawasi anak masing-masing sepanjang cuti sekolah ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Ismasuhaimi Shariff berkata, kes telah dianggap selesai selepas waris membawa kanak-kanak tersebut menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, semalam.

Menurutnya, kejadian yang tular di media sosial seperti WhatsApp dan Facebook harus menjadi iktibar kepada semua ibu bapa atau waris selepas kanak-kanak tersebut dikenakan tindakan di bawah kesalahan lalu lintas iaitu menunggang di bawah umur, cukai jalan telah tamat tempoh dan tidak dilindungi perlindungan insurans serta tidak memakai topi keledar.

Warisnya pula dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39 (5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu sebuah kenderaan bermotor.

ARTIKEL BERKAITAN Waris bawa kanak-kanak tular ke IPD Kubang Pasu

"Ini adalah satu kesalahan yang serius kerana membenarkan pemandu bawah umur membawa kenderaan bermotor. Pada musim cuti ini saya berharap ibu bapa akan memantau dan menjaga anak-anak mereka.

"Kesalahan ini bukan sahaja boleh disaman di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 tetapi pihak polis juga boleh mengeluarkan saman di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana Kedah kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 6 Disember depan," katanya ketika ditemui pemberita di Bilik Mesyuarat Mahsuri, JPJ Negeri Kedah, dekat sini hari ini.

Ismasuhaimi berkata, kesannya menyebabkan ibu bapa ataupun waris kepada anak-anak mereka akan terbeban kerana terpaksa membayar saman dan kompaun yang tinggi.

"Saya menasihati ibu bapa agar sentiasa mengawasi anak-anak sepanjang cuti sekolah ini agar tidak merayau-rayau di jalan raya kerana bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi juga pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam Sinar Harian melaporkan kanak-kanak berusia bawah 10 tahun yang tular di laman sosial kerana menunggang motosikal di simpang tiga Kampung Paya Chegar, Jitra dibawa oleh warisnya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, kira-kira jam 2.40 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, siasatan lanjut yang dilakukan oleh pihaknya mendapati kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 6 petang pada Ahad lalu.