Langkah proaktif pulihkan semula industri pelancongan

Hee Loy Sian
Hee Loy Sian
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengambil langkah proaktif bagi memulihkan semula industri pelancongan di negeri ini menerusi beberapa pelaksanaan inisiatif buat pemain industri terlibat.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asal Selangor, Hee Loy Sian berkata, bagi tujuan itu, kerajaan negeri sebelum ini telah memperkenalkan subsidi baucar pelancongan dengan nilai terbitan sebanyak RM2 juta bagi membantu merancakkan semula industri pelancongan di Selangor.

Beliau berkata, selain itu, pemberian inisiatif sebanyak RM1,000 turut diberikan kepada pemandu pelancong, hos komuniti setempat (HKS) dan pengusaha inap desa dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM553,000.

"Malah, kerajaan negeri melalui Tourism Selangor turut memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM2.9 juta sehingga bulan Oktober lalu bagi pelaksanaan program promosi dan acara pelancongan termasuk penganjuran kempen 'Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu'," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Loy Sian berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mohd Imran Tamrin (BN-Sungai Panjang) berhubung usaha dan tindakan diambil kerajaan negeri dalam memulihkan industri pelancongan pasca Covid-19.

Mengulas lanjut, Loy Sian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang berkata, kumpulan yang disasarkan dalam pemulihan semula industri pelancongan di negeri ini melibatkan pengusaha hotel berlesen, inap desa berlesen, pemandu pelancong dan lain -lain lagi.

"Pelbagai usaha lain turut dilaksanakan antaranya dengan penganjuran kempen promosi pelancongan melalui medium pengiklanan outdoor billboard, unipole dan digital billboard di beberapa kawasan terpilih," katanya.

Artikel Berkaitan: