X

Kindly register in order to view this article
!

[VIDEO] Tiga anggota polis direman kes terima suapan

Tiga anggota polis direman bagi membantu siasatan kes meminta suapan daripada seorang pemandu van sekolah memandu kerana melanggar PKPB kelmarin.
A
A

SHAH ALAM - Tiga anggota polis direman empat hari bagi membantu siasatan kes menerima suapan daripada seorang pemandu van sekolah bagi mengelak dikenakan tindakan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini.

Perintah reman bermula hari ini sehingga 13 November itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin di Kompleks Mahkamah Shah Alam pagi tadi.

Menurut sumber, ketiga-tiga anggota polis berumur 38 hingga 57 tahun itu ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kira-kira jam 7 malam semalam selepas hadir memberikan keterangan.

"Siasatan awal mendapati mereka telah menahan sebuah van sekolah memandu di Lebuhraya Guthrie atas kesalahan membawa penumpang yang ramai dan tiada penjarakkan fizikal kira-kira jam 8 pagi kelmarin," katanya.

Difahamkan, van tersebut membawa 10 orang calon ujian memandu berkomputer di sebuah sekolah memandu di Subang Murni di sini.

"Kesemua suspek kemudian telah mendesak pemandu van terbabit untuk memberikan rasuah sebanyak RM500 bagi mengelak dikenakan tindakan kerana ingkar operasi prosedur operasi standard (SOP) PKPB," katanya.

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencerahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan penahanan terbabit.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!