Lelaki ditahan halang tugas penjawat awam

Huzir Mohamed
Huzir Mohamed
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki ditahan kerana mengganggu tugas polis yang melakukan serbuan di sebuah rumah di Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, lelaki berusia 23 tahun itu telah mengganggu tugas polis dengan membuat rakaman video dan menyiarkan melalui Facebook Live.

"Sepasukan polis melakukan serbuan berkaitan siasatan membabitkan kes Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) di bawah Akta Hasutan.

"Serbuan dilakukan sejajar dengan peruntukan di bawah Seksyen 8(2) Akta Hasutan 1948 (pengeluaran waran geledah)," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Huzir berkata, sebelum pasukan polis memulakan penggeledahan, pegawai serbuan yang memakai vest polis telah menunjukkan kad kuasa kepada seorang lelaki yang berada di dalam rumah.

"Namun, lelaki itu enggan memberi kerjasama dengan mengunci pintu dari dalam. kemudian, seorang wanita yang mengaku peguam dan seorang lelaki lain telah tiba di lokasi berkenaan.

"Lelaki berkenaan telah membuat rakaman secara langsung melalui Facebook dengan menggunakan telefon bimbitnya," katanya.

Huzir berkata, pegawai berkenaan telah beberapa kali memberi amaran kepada lelaki itu agar menghentikan tindakannya, namun dia masih meneruskan rakaman.

Artikel Berkaitan:

"Lelaki itu telah ditangkap kerana mengganggu proses siasatan serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Kita turut merampas satu unit telefon bimbit jenama iPhone berserta kad sim," katanya.

Beliau berkata, tangkapan dibuat kerana kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya.

"Tangkapan ini adalah berlandaskan undang-undang dan peruntukan sedia ada demi kepentingan siasatan.

"Perlu diingatkan setiap siasatan adalah sulit dan tidak boleh didedahkan sewenang-wenangnya, apatah lagi jika ditularkan di media sosial," katanya.

Huzir berkata, pihaknya telah mengambil tindakan sewajarnya dengan memberikan amaran.

"Pegawai serbuan mendapati lelaki tersebut telah mengingkari suatu perintah yang diisytiharkan oleh seorang pegawai polis yang juga seorang ‘penjawat awam’ sebagaimana peruntukan di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan," katanya.

Huzir menegaskan bahawa tindakan merakam gambar atau video bukan suatu kesalahan jenayah.

"Bagaimanapun, demi kepentingan siasatan, sekiranya gambar atau video tersebut dikongsi, disebar dan ditularkan di media sosial atau dalam apa jua cara sekali pun, ia boleh mengganggu proses siasatan polis.

"Ia juga bertentangan dengan peruntukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memulakan penghantaran dengan niat mengganggu orang lain," katanya.

Terdahulu, satu hantaran memaklumkan aktivis pelajar, Wong Yan Ke ditahan polis selepas merakam video ketika pihak polis membuat serbuan di rumah Presiden UMANY, tular di media sosial.

Sebelum ini, media melaporkan polis menjalankan siasatan terhadap Wen Qing mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataan kontroversi mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebanyak 41 laporan polis dibuat terhadap kes berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.