Keane ramal Liverpool pertahan trofi EPL

Liverpool dinilai pasukan paling layak untuk muncul juara EPL musim ini.
Liverpool dinilai pasukan paling layak untuk muncul juara EPL musim ini.
A
A
A

BEKAS pemain Manchester United, Roy Keane meramalkan Liverpool akan dapat mempertahankan trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Menurutnya, The Reds memiliki karakter tersendiri dan dilihat masih terus gagal diberikan cabaran oleh pasukan lain dalam saingan EPL kali ini.

"Kita tahu Liverpool mempunyai kualiti yang sangat bagus. Saya melihat kepada bahasa tubuh dan semangat yang ditunjukkan oleh pemain Liverpool. Mereka masih dahagakan kejayaan dan itu saya nampak dengan sangat jelas dalam pasukan Liverpool.

"Saya lihat pasukan lain memerlukan kerja keras untuk menghentikan Liverpool. Saya tahu mereka (Liverpool) tidak berada pada tahap terbaik dengan kecederaan beberapa pemain utama mereka, tetapi mereka mampu mendapatkan mata dalam setiap perlawanan," katanya.

Dalam masa sama,Keane juga menilai pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mempunyai aura untuk memastikan moral pemain mereka tidak jatuh walaupun dihimpit dengan krisis kecederaan.

Malah, beliau menyifatkan Klopp berjaya membawa pasukan itu dengan baik untuk mengikat Manchester City 1-1 dalam aksi EPL Ahad lalu.

"Saya pasti Klopp berpuas hati dengan keputusan seri dan satu mata tersebut. Seperti yang telah saya katakan, Liverpool dilanda krisis kecederaan yang serius namun berjaya memastikan dapat satu mata menentang pasukan yang kuat.

"Mereka dapat mengatasi prestasi kurang baik ketika permulaan musim selepas dibelasah Aston Villa dan ia salah satu elemen yang dimiliki oleh pasukan juara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Liverpool ketika ini berada di kedudukan ketiga EPL dengan 17 mata daripada lapan perlawanan dan hanya ketinggalan satu mata daripada pendahulu liga,

Leicester City selain dibezakan jumlah jaringan dengan pasukan di tangga kedua iaitu Tottenham Hotspur.

Perjalanan dalam saingan domestik buat Liverpool tidak bermula dengan baik selepas disingkirkan Arsenal daripada saingan Piala Liga Inggeris selain dibelasah Villa 2-7 dalam saingan EPL.

Malah, mereka juga dilanda masalah kecederaan dengan Virgil van Dijk terpaksa berehat panjang selain Joel Matip, Fabinho dan Thiago Alcantara yang terpaksa diketepikan untuk tempoh beberapa minggu.

Namun, The Reds mampu melalui situasi tersebut dengan merekodkan lima kemenangan dan dua seri dalam tujuh aksi terakhir mereka dalam saingan EPL.