X

Kindly register in order to view this article
!

KPM usaha perkasa pendidikan digital negara

Dr Mohd Radzi Md Jidin.
 - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini dalam peringkat akhir bagi merangka strategi pelaksanaan yang komprehensif dalam memperkasa pendidikan digital negara, kata Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata, perkara itu adalah antara butiran yang dinyatakan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat lepas, yang turut mengambil kira keperluan pemilikan peranti oleh murid dan akses internet di sekolah seluruh negara.

"KPM sentiasa berusaha untuk memastikan semua murid mendapat akses pembelajaran secara saksama tanpa mengira keberadaan atau latar belakang sosioekonomi mereka. Untuk murid yang tidak mempunyai akses kepada capaian internet atau peranti yang sesuai, pembelajaran dilaksanakan melalui siaran TV Pendidikan di saluran TV Okey dan Tutor TV Astro.

"Guru juga melaksanakan pengajaran dan pembelajaran melalui serahan bahan pembelajaran kepada murid terutama bagi murid yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman," katanya dalam jawapan bertulis bagi sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang ingin tahu rancangan kementerian untuk membantu pelajar yang tiada kemudahan internet dan komputer riba terutama di kawasan pedalaman serta rasional untuk menutup sekolah di seluruh negara termasuk kawasan hijau koronavirus (Covid-19) dan menangguhkan peperiksaan awam.

Menjawab soalan rasional untuk menutup sekolah di seluruh negara termasuk kawasan hijau Covid-19, Mohd Radzi berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan analisis data terhadap kes positif, kontak rapat dan kuarantin dalam kalangan murid, guru serta warga sekolah yang semakin meningkat semasa gelombang ketiga pandemik Covid-19 di negeri-negeri yang tidak terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, data KPM menunjukkan kehadiran murid ke sekolah akan terjejas apabila terdapat kes positif di sesuatu kawasan walaupun ia terletak di negeri-negeri yang secara keseluruhannya tidak mencatatkan kes Covid-19 yang tinggi disebabkan oleh kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak mereka jika hadir ke sekolah.

"Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, penutupan sekolah di negeri-negeri berkenaan melibatkan seramai 1,087,803 murid, 99,491 guru dan 20,438 anggota kumpulan pelaksana. Ini merupakan satu jumlah yang signifikan dalam membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan petugas barisan hadapan membendung penularan Covid-19," katanya.

Mohd Radzi berkata, penutupan semua sekolah di seluruh negara itu amat penting dalam memastikan sesi persekolahan untuk tahun 2021 dapat dimulakan dalam keadaan selamat seperti dijadualkan.

Beliau berkata, KPM telah membuat keputusan untuk meminda tarikh peperiksaan awam dengan mengambil kira pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada bulan Mac hingga Jun 2020.

"Peningkatan ketara jumlah kes positif Covid-19 pada gelombang ketiga dan pelaksanaan PKPB yang terkini juga telah memberi kesan kepada persiapan murid untuk menghadapi peperiksaan. Dengan pindaan tarikh peperiksaan awam, calon peperiksaan akan mempunyai masa lebih panjang untuk membuat persediaan rapi bagi menghadapi peperiksaan.

"Selain itu, ia juga memberi lebih masa kepada mereka untuk mengikuti pembelajaran secara bersemuka apabila sekolah dibuka semula," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!