Belanjawan 2021: PN pastikan kebajikan rakyat terbela

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion yang terbesar dalam sejarah negara merupakan manifestasi komitmen serta keprihatinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terbela dalam menghadapi wabak koronavirus (Covid-19).

PN dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan tidak pernah berkompromi dalam usaha melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi.

“Sehubungan itu, gandingan bahu setiap pihak amatlah penting bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi demi kesejahteraan bersama," menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu mewakili Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee.

Ia antara lain turut menyebut agar kesemua pihak mendukung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar mengutamakan rakyat dalam tempoh yang amat mencabar buat negara.

Menurut kenyataan itu lagi, Belanjawan 2021 juga merangkumi lebih RM4.2 bilion untuk mengurangkan beban rakyat, lebih RM4 bilion kepada barisan hadapan dalam memerangi Covid-19, dan RM3 bilion untuk menjana 500,000 pekerjaan.

“Belanjawan 2021 juga merupakan kesinambungan empat pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi yang telah diumumkan kerajaan PN sebelum ini yang bernilai RM305 bilion keseluruhannya,” menurut kenyataan tersebut.

Jumaat lepas, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Belanjawan 2021 dengan peruntukan RM322.5 bilion tertinggi dalam sejarah negara dalam menghadapi pelbagai cabaran akibat pandemik Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: