Pembinaan LRA Sungai Rasau dijangka siap pada 2024

Ir Izham Hashim
Ir Izham Hashim
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau Fasa Pertama dijangka siap pada tahun 2024 dengan agihan kapasiti sebanyak 700 juta liter sehari (JLH) buat penduduk di daerah Klang.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, buat masa ini, status pembinaan projek tersebut berada di peringkat kajian kebolehlaksanaan yang diuruskan oleh jurutera perunding dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor.

Beliau berkata, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) juga akan menyediakan kajian dan dokumen terperinci berhubung spesifikasi sistem yang akan digunapakai di LRA tersebut.

"Projek ini amat penting bagi perancangan pembangunan air di Selangor buat tempoh 30 tahun malah, kita awalkan pelaksanaan pembinaannya iaitu pada tahun 2024 depan," katanya sewaktu Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Izham berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Michelle Ng Mei Sze (Kampung Tunku-DAP) berhubung status pembinaan LRA Sungai Rasau.

Mengulas lanjut, Izham berkata, pelaksanaan pembinaan LRA Sungai Rasau Fasa Dua juga dijangka akan siap pada tahun 2028 untuk agihan buat penduduk di wilayah Petaling.

"Kerja-kerja perincian berhubung pelaksanaan pembinaan LRA ini akan bermula selepas kajian kebolehlaksanaan selesai dilakukan.

"Selain aspek teknikal, aspek kewangan juga penting kerana kita perlu meneliti kerja-kerja pelaksanaan bagi memohon bantuan geran Kerajaan Persekutuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berlainan, Izham berkata, keseluruhan projek pembangunan LRA Langat 2 termasuk pembinaan kolam-kolam perkhidmatan dan sistem agihan melibatkan 23 pakej masih belum siap sepenuhnya.

Katanya, keseluruhan projek pembangunan Skim LRA Langat 2 ini dijadualkan siap sepenuhnya pada 31 Disember 2023.

"Kawasan yang bakal mendapat bekalan air dari LRA berkenaan adalah melibatkan wilayah Petaling, Gombak, Hulu Langat dan Kuala Lumpur," katanya.