X

Kindly register in order to view this article
!

Keropok Lekor Tok Molor bakal tembusi pasaran global

Keropok Tok Molor bakal menembusi pasaran global ke tiga buah negara iaitu Australia, New Zealand dan Filipina pada tahun hadapan.
A
A

MARANG – Bermodalkan hanya ratusan ringgit, Keropok Lekor Tok Molor yang diusahakan anak jati Kampung Pulau Kerengga, di sini terus berkembang maju dan bakal melebarkan sayap dengan menembusi pasaran luar negara pada 2021.

Pengusahanya, Rapuan @ Sharuddin Abd Rahman berkata, pihaknya kini dalam fasa akhir tempahan untuk mengeksport kira-kira 15 tan keropok lekor dalam tempoh seminggu ke Australia, New Zealand dan Filipina.

“Bulan ini kita telah menerima tempahan keropok lekor dari Sabah dan Sarawak sebanyak 15 tan seminggu dan bulan depan tempahan akan meningkat kepada 30 tan seminggu.

“Ekoran permintaan tinggi, kita jangka akan luaskan lagi pasaran ke tiga buah negara luar iaitu Australia, New Zealand dan Filipina setelah mendapat permintaan dari negara terbabit,” katanya.

Bagi menampung permintaan tinggi, Keropok Lekor Tok Molor telah membuka sebuah lagi kilang memproses keropok di Kampung Pulau Kerengga sebagai pusat pengeluaran dengan kos pembinaan sebanyak RM600,000.

Rapuan@Sharuddin (dua dari kiri) bersama Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Huzairil Nizam Ibrahim (tiga dari kiri) ketika majlis perasmian kilang baharu di Kampung Pulau Kerengga, Marang Ahad lalu.
[email protected] (dua dari kiri) bersama Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Huzairil Nizam Ibrahim (tiga dari kiri) ketika majlis perasmian kilang baharu di Kampung Pulau Kerengga, Marang Ahad lalu.

Katanya, jumlah pekerja kini turut meningkat kepada 160 orang berbanding seramai 70 pekerja ketika mula beroperasi pada 2012.

“Bagi memajukan syarikat sebanyak RM700,000 telah dibelanjakan untuk mendirikan premis dan membeli peralatan yang digunakan.

“Kita juga berhasrat untuk memohon peruntukan dari Jabatan Perikanan Malaysia untuk menambahkan modal pusingan bagi melengkapkan perniagaan yang dijalankan,” katanya.

Keropok Lekor Tok Molor pada awalnya dikilangkan di Kampung Sungai Derhaka dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat di mana keutamaan diberikan kepada ibu tunggal dan anak yatim.

Walaupun melalui pelbagai fasa jatuh bangun dalam perniagaan, syarikat yang diusahakan anak Terengganu itu tidak menyerah kalah dan sentiasa melakukan inovasi termasuk menghasilkan kepelbagaian keropok menepati citarasa pelanggan.

“Sokongan pelanggan amat dihargai kerana mereka tidak berhenti membeli produk yang dihasilkan oleh syarikat ini. Hasil sokongan mereka syarikat berjaya melantik 200 ejen di seluruh Malaysia.

“Pada 2020 kami terus mengorak langkah mendirikan sebuah kilang yang besar dengan mengikut piawaian yang ditetapkan. Kami juga dalam proses memohon Sijil Halal Malaysia bagi meyakinkan lagi pelanggan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!