1,362 ditangkap di Pahang sepanjang PKP

Abd Jalil Hassan
Abd Jalil Hassan
A
A
A

KUANTAN - Jumlah tangkapan keseluruhan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri Pahang bagi tempoh 18 Mac hingga semalam ialah seramai 1,362 orang.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, daripada jumlah itu seramai 587 orang telah dituduh di mahkamah bagi tempoh sama.

Menurutnya lagi, seramai 27 orang dikenakan kompaun polis kelmarin (8 November) kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara.

"Pada masa ini kita mengadakan 13 sekatan jalan raya setiap hari dengan keseluruhan petugas seramai 77 orang.

"Polis Pahang juga telah menerima 1,889 borang permohonan permit pergerakan harian dengan 1,808 daripadanya diberikan kelulusan manakala 81 ditolak setakat semalam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Abd Jalil turut menasihatkan orang ramai yang ingin membuat permohonan merentas negeri agar mengemukakan dokumen sokongan berserta alasan kukuh ekoran pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di seluruh negara kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan.

"Orang ramai turut dinasihatkan untuk pastikan permohonan rentas negeri mengikut SOP dan tiada cubaan menipu alasan. Ini kerana pihak polis akan semak kesahihan permohonan," katanya.

Artikel Berkaitan: