Dua rumah ranap akibat tanah runtuh

Rumah yang runtuh akibat runtuhan tanah di lereng bukit di Jalan Bukit Kimanis Batu 8, Papar pagi tadi.
Rumah yang runtuh akibat runtuhan tanah di lereng bukit di Jalan Bukit Kimanis Batu 8, Papar pagi tadi.
A
A
A

PAPAR - Dua buah rumah ranap selepas berlaku runtuhan tanah di lereng bukit dalam kejadian di Jalan Bukit Kimanis Batu 8, dekat sini awal pagi tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, tiada kejadian melibatkan nyawa berikutan tiada penghuni yang menetap di kawasan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Mohd Johainin Ruslan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung tanah runtuh itu pada jam 7.51 pagi tadi.

"Hasil pemeriksaan dua rumah terlibat dalam runtuhan itu bagaimanapun tiada penghuni yang tinggal di kawasan terbabit.

"Runtuhan itu dipercayai disebabkan hujan berterusan malam tadi dan pergerakan tanah mungkin akan berlaku jika hujan lagi hari ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Katanya lagi, pemeriksaan lanjut mendapati, rumah itu memang tidak dibenarkan untuk penempatan berikutan sering berlaku tanah runtuh serta terletak di tanah Taman-Taman Sabah (TTS).

"Menurut pegawai daerah, penempatan itu sudah diberi notis bahawa tidak diluluskan untuk dijadikan kediaman.

"Berikutan itu, tiada penghuni yang menetap di kawasan itu dan difahamkan kawasan ini sering berlaku tanah runtuh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Mohd Johainin berkata, terdapat lebih 10 rumah dibina di lereng bukit berkenaan termasuk lima sudah siap manakala empat lagi masih dalam pembinaan.

"Ketika ini, kerja pembersihan laluan jalan raya sedang dilakukan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memudahkan kenderaan menggunakan laluan itu.

"Setakat ini proses pembersihan sudah mencapai 70 peratus dan dijangka kenderaan di kedua-dua arah boleh menggunakannya selepas selesai pembersihan sisa runtuhan tanah di kawasan ini," katanya,