Kerajaan terbukti prihatin terhadap sektor pendidikan

Mohd Nizar
Mohd Nizar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Belanjawan 2021 menggambarkan keprihatinan kerajaan untuk meningkatkan kualiti sektor pendidikan dan pembangunan bumiputera secara khusus, terutama dalam penyediaan modal insan yang mampan selaras dengan era digital.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara (YPM), Datuk Dr Mohd Nizar Sudin berkata, YPM menyambut baik usaha kerajaan memperkasa pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan menyalurkan peruntukan sebanyak RM6 bilion.

“Ia jelas menunjukkan sektor ini perlu diberikan perhatian khusus dalam usaha meningkatkan modal insan anak bangsa. Secara spesifik, pelajar-pelajar pondok dan tahfiz disediakan RM29 juta untuk latihan TVET. Peruntukan pinjaman RM300 juta juga disediakan kepada 24,000 pelajar TVET.

“YPM berpendapat bahawa kerajaan mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan pembelajaran atas talian yang dianggap sebagai pendidikan norma baharu sekarang dengan memperuntukkan hampir RM10 bilion menerusi pelbagai kementerian serta agensi disediakan bagi menjayakannya.

“Peruntukan RM150 juta kemudahan peralatan laptop di 500 sekolah, RM7.4 bilion untuk meningkatkan khidmat jalur lebar serta lebih RM500 juta bagi meningkatkan capaian internet di sekolah dan universiti,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam pada itu, Mohd Nizar berkata, peruntukan khas RM1.5 bilion bagi Program Jaringan Prihatin kepada golongan B40 untuk meningkatkan capaian internet merupakan satu usaha murni kerajaan yang akan memberi memanfaatkan kepada kumpulan sasar dalam akses kepada sumber pembelajaran atas talian.

“YPM amat menghargai komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh pembangunan bumiputera dengan meningkatkan peruntukan RM6.5 bilion untuk akses pendidikan berkualiti menerusi institusi Mara dan Universiti Teknologi Mara (UiTM),” katanya.

Justeru, Mohd Nizar berkata, YPM komited memastikan semua program yang dirancang akan dilaksanakan dengan sempurna, berkesan dan memberi impak kepada pelajar dengan bentuk tawaran baharu bersesuaian dengan situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara kini.

Artikel Berkaitan: