Polis dedah rancangan pihak berkuasa Myanmar dibebas

Yan Naing mengecam Akta Disiplin Polis yang didakwa sudah ketinggalan zaman.
A
A

YANGON - MYANMAR. Anggota polis yang mendedahkan rancangan pihak berkuasa Myanmar yang memerangkap dua wartawan Reuters dibebaskan dari penjara pada Jumaat selepas menjalani hukuman selama setahun atas kesalahan melanggar disiplin.

Moe Yan Naing dengan berani membongkar rancangan polis yang membawa kepada penangkapan Wa Lone, 32, dan Kyaw Soe Oo, 28, pada 12 Disember 2017.

Tindakannya didakwa melanggar Akta Disiplin Polis malah keluarganya turut diusir dari perumahan polis di Naypyitaw.

"Undang-undang disiplin ini adalah salah satu yang perlu dipinda sementara negara ini menuju demokrasi. Ia hanya boleh menyebabkan anggota polis lebih menderita kerana sudah ketinggalan zaman," katanya di luar penjara Insein tidak lama selepas pembebasannya.

Dalam perkembangan berkaitan, peguam kepada Lone dan Soe Oo yang dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi telah memfailkan rayuan terakhir di Mahkamah Tinggi.

Rayuan itu turut mengemukakan bukti rancangan helah polis dan kekurangan bukti terhadap jenayah yang dikenakan ke atas mereka.

"Petisyen kami meminta Mahkamah Agung supaya memberikan keadilan kepada Lone dan Soe Oo, memperbetulkan kesilapan mahkamah rendah dan keputusan membebaskan mereka," ujarnya dalam satu kenyataan.

Kedua-dua wartawan tersebut disabit bersalah oleh Mahkamah Rendah pada September lalu selepas mereka membuat liputan tentang pembunuhan kejam penduduk Rohingya di Rakhine pada 2017. - Agensi


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia