[VIDEO] PKPB diperluas sebagai langkah kuat kuasa Akta 342

Mohd Redzuan
Mohd Redzuan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tujuh negeri bermula 9 November adalah sebagai langkah meneruskan kuat kuasa Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, tindakan itu juga susulan daripada laporan kes pada 6 November 2020 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila Malaysia telah mencatatkan jumlah tertinggi kes koronavirus (Covid-19) harian iaitu sebanyak 1,755 kes.

Menurutnya, kerajaan mengambil keputusan melaksanakan PKPB di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang berikutan peningkatan kes Covid-19 di setiap negeri tersebut dan terdapat keperluan untuk menggunakan pendekatan yang lebih tegas serta berani sebelum keadaan bertambah buruk.

"Berdasarkan situasi ini, KKM segera melaksanakan penilaian risiko dan mendapati bahawa terdapat peningkatan ketara bilangan kes positif Covid-19 dan kadar kebolehjangkitan di negeri–negeri tersebut.

"Atas sebab ini, kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan PKPB dalam tempoh empat minggu (28 hari) dan PKP Diperketatkan (PKPD) bagi lokaliti yang dikenal pasti mempunyai kadar penularan yang tinggi dan bersasar bagi mengekang penularan wabak ini.

"Susulan daripada keputusan ini, prosedur operasi standard (SOP) yang diwujudkan bagi mengatasi penularan di kawasan PKPB akan diperketatkan terutamanya bagi aktiviti sosial dan termasuk juga di kawasan-kawasan terkawal seperti penjara, lokap atau Pusat Tahanan Sementara," katanya dalam jawapan lisan bagi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang meminta Perdana Menteri menyatakan rasional pelaksanaan PKPB di tujuh negeri yang bermula 9 November 2020 sehingga 6 Disember 2020.

Mohd Redzuan berkata, sekatan rentas negeri bagi semua tujuan selain kegiatan ekonomi dan bekerja perlu dilaksanakan lebih tegas oleh pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Artikel Berkaitan:

"Dengan penerusan penggunaan Akta 342, penguatkuasaan ke atas pematuhan SOP-SOP dapat dilaksanakan oleh agensi-agensi yang telah diberi kuasa di bawah akta ini untuk memastikan pematuhan ke atas SOP selain mendidik masyarakat untuk membudayakan normal baharu kehidupan," katanya.