Pesara polis hilang selepas keluar rumah

Wahab yang dikhuatiri hilang malam tadi.
Wahab yang dikhuatiri hilang malam tadi.
A
A
A

SIK - Seorang pesara polis dikhuatiri hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Batu Besar malam tadi.

Mangsa, Wahab Yaacob, 66, disedari hilang kira-kira jam 7.15 selepas memberitahu hendak ke bilik air.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdul Razak Osman berkata, mangsa hilang ingatan selepas terlibat kemalangan sebelum ini.

"Berdasarkan keterangan isterinya, mangsa dikatakan keluar dengan memakai tuala tanpa berbaju kerana memberitahu hendak ke bilik air untuk mandi.

"Bagaimanapun, mangsa dipercayai berjalan keluar rumah seorang diri tanpa disedari oleh keluarganya yang ketika itu sedang menunaikan solat Maghrib," katanya.

Menurutnya, kejadian itu disedari jiran berdekatan yang ternampak mangsa melintas jalan besar pada jam 7.40 malam sebelum memaklumkan kepada keluarganya.

"Anak mangsa kemudian bergegas ke lokasi terbabit, tetapi tidak menjumpai mangsa," katanya.

Abdul Razak berkata, polis telahpun menggerakkan sembilan anggota bersama 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sik ke tempat kejadian bagi melakukan pencarian semalam.

Artikel Berkaitan:

"Pencarian turut dilakukan penduduk kampung, namun sehingga kini masih belum ditemui," katanya.

Difahamkan, sebelum ini, mangsa koma dan terlantar selama beberapa bulan akibat kemalangan dan setelah sedar mangsa dapat bergerak semula, namun mengalami masalah gangguan ingatan.

Laporan polis berhubung kehilangan mangsa akan dibuat ahli keluarga pagi ini.