[VIDEO] Perak benarkan solat Jumaat, berjemaah bersyarat

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari
A
A
A

IPOH - Semua masjid dan surau di Perak dibenarkan mengadakan solat Jumaat dan berjemaah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini dengan beberapa syarat.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, semua syarat dan ketetapan itu telah mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dengan merujuk garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, bagi kawasan yang dikategorikan zon hijau, solat Jumaat dan berjemaah boleh dilaksanakan dengan had 40 ahli kalangan pegawai masjid, jawatankuasa dan ahli kariah, manakala zon kuning ditetapkan hanya 23 jemaah sahaja.

"Kehadiran menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau pada masa ini hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia dan identiti setiap jemaah yang datang hendaklah disemak dan direkodkan sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat.

"Penganjuran kuliah pengajian antara solat Maghrib dan solat Isyak serta selepas solat Subuh dibenarkan pada skala kecil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi masjid dan surau yang berada dalam zon merah, solat Jumaat adalah ditangguhkan dan diganti dengan solat Zohor di kediaman masing-masing.< /p>

Kenyataan media daripada MAIPk
Kenyataan media daripada MAIPk

Katanya, solat berjemaah pada setiap solat fardu pula hanya boleh dilaksanakan enam orang terdiri kalangan pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kariah.

Artikel Berkaitan:

"Semua aktiviti keagamaan seperti ceramah, kuliah pengajian antara Maghrib dan Isyak serta selepas solat Subuh, tahlil doa selamat dan sebagainya perlulah ditangguhkan," katanya.

Shahrul Azam berkata, laungan azan solat fardu lima waktu hendaklah diteruskan seperti biasa dan pengumuman selepas azan hendaklah dibuat seperti berikut:

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, azan sebentar tadi telah menandakan masuknya waktu solat fardu....... Sehubungan itu, para ahli kariah disarankan untuk mendirikan solat berjemaah bersama ahli keluarga masing-masing di rumah.

Katanya, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengemaskini status zon di negeri ini dari masa ke masa serta mengeluarkan satu garis panduan dan kaedah pelaksanaan solat Jumaat dan solat berjemaah pada setiap solat fardu kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Kariah masjid serta surau.

"Arahan dan ketetapan ini hendaklah terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga dikeluarkan apa-apa arahan baharu daripada MAIPk," katanya.