‘Bakul rezeki’ bantu golongan memerlukan

Nasi ganja percuma yang disediakan di dalam bakul di kedai makan Mek Jang Cafe yang diusahakan Norharizan bersama keluarga di Kampung Losong Atap Zin, Kuala Terengganu.
Nasi ganja percuma yang disediakan di dalam bakul di kedai makan Mek Jang Cafe yang diusahakan Norharizan bersama keluarga di Kampung Losong Atap Zin, Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Peniaga kedai makan di Kampung Losong Atap Zin, di sini mengambil inisiatif menyediakan juadah percuma khusus bagi golongan memerlukan terutama sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kali ini.

Pemilik Mek Jang Cafe, Norharizan Hassan, 41 berkata, juadah percuma yang diletakkan di dalam bakul makanan di gerainya itu disediakan sejak awal perniagaan pada 2018 dan diteruskan sehingga kini.

“Saya mula menyediakan bungkusan nasi percuma sejak mula berniaga. Setiap hari saya sediakan dalam 10 bungkus nasi. Ada juga pelanggan yang turut menyumbang menjadikan lebih banyak rezeki untuk dikongsi bersama dengan mereka yang kurang bernasib baik.

“Setiap hari juga akan ada orang susah yang datang ke kedai untuk ambil nasi yang disediakan ini seperti orang kurang upaya (OKU), warga emas serta gelandangan. Ada juga orang susah yang terkesan kerana kehilangan pekerjaan yang datang ambil nasi di sini,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, dia berbesar hati menerima sumbangan bagi membantu golongan memerlukan terutama dalam tempoh penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

“Saya tak pernah minta sebarang sumbangan namun ada pihak yang berminat untuk turut sama menyumbang setelah ternampak bakul nasi percuma itu. Saya amat berterima kasih kepada mereka yang sudi menghulurkan sumbangan kerana dengan cara itu lebih ramai lagi orang susah dapat dibantu.

“Semalam, 25 bungkus nasi percuma kepada mereka disediakan termasuk hasil sumbangan orang ramai terdiri dalam kalangan pelanggan di kedai ini. Alhamdulillah, setakat ini itu yang termampu kami lakukan untuk meringankan bebanan mereka yang memerlukan,” katanya.

Norharizan menjalankan perniagaan makanan berupa juadah nasi berlauk istimewa dinamakan ‘nasi ganja’, makanan tradisional Terengganu iaitu nasi dagang serta aneka kuih muih.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut dibantu suami, Mohd Faizal Nizam Mohd Speri, 40 dan anaknya, Mohd Aliff Syazwan Amri, 21; Nor Alya Syauqina, 20 serta seorang anak lelaki kurang upaya (OKU), Mohd Ariff Syawal, 16.

Katanya, ada juga individu berhati mulia meminta beliau menunaikan amanah yang diberikan untuk membelikan beras kepada golongan memerlukan.

“Ada yang beri amanah untuk kita agihkan beras serta makanan kepada golongan memerlukan, kita sedaya upaya tunaikan amanah yang diberikan.

“Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu ramai juga yang menyumbang untuk kita sediakan juadah makanan kepada barisan hadapan. Kita cuba buat yang terbaik bagi membantu mereka yang bekerja keras dan berkorban melawan Covid-19 ini,” katanya.