Peduli kesihatan mental

No Image Caption
A
A
A

PADA era Covid-19 ini, rakyat meneliti keseluruhan Belanjawan 2021 dengan rapi berlatarbelakangkan kesengsaraan yang melanda pelbagai sektor kehidupan.

Misalnya, usaha kerajaan mewujudkan kembali Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dengan peruntukan RM85.5 juta di bawah Belanjawan 2021 mendapat kritikan rakyat.

Jika kerajaan meneruskan pengurangan peruntukan untuk banyak bidang perubatan daripada nefrologi ke farmasi dan daripada anestesiologi ke psikiatri, ini bermakna kenestapaan rakyat akan terus memanjang.

Ini berlaku seiring dengan peningkatan peruntukan (berbanding dengan tahun lalu) sebanyak 4 peratus kepada Kementerian Kesihatan (KKM) yakni RM31.9 bilion.

Pada hujung zaman kekuasaannya, kerajaan Barisan Nasional (BN) meningkatkan usaha kempen kesihatan mental, pencegahan kecelaruan psikiatari serta pengurusan penyakit mental.

Ini disambut baik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang hanya memerintah selama 22 bulan, namun usaha ini tidak mencukupi kerana dalam Belanjawan 2020, hanya RM344.82 juta dikhususkan untuk kesihatan mental dan sekitar 1 peratus daripada peruntukan untuk kesihatan umum.

Ini lebih rendah daripada purata antarabangsa sebanyak 2.8 peratus. Peruntukan yang besar untuk meneruskan usaha kerajaan Perikatan Nasional menangani wabak Covid-19 tidak boleh dibanggakan kerana itu adalah satu kewajipan.

Pada 27 Ogos 2020, sebuah kenyataan media bersama oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), United for Global Health dan Persekutuan Kesihatan Mental Sedunia dibuat di Geneva.

Artikel Berkaitan:

Ia menegaskan bahawa kesihatan mental adalah antara bidang kesihatan masyarakat yang paling terabai.

Hampir satu bilion manusia hidup dengan satu kecelaruan mental, tiga juta manusia mati setiap tahun lantaran penggunaan alkohol yang memudaratkan dan seorang manusia mati setiap 40 saat kerana bunuh diri.

Di negara berpendapatan rendah dan pertengahan, lebih daripada 75 peratus rakyatnya yang menghidapi kecelaruan mental, penyakit neurologikal dan penyalahgunaan dadah tidak menerima rawatan.

Akses yang terhad kepada perkhidmatan kesihatan mental yang termampu sebelum pandemik kini telah dikurangkan oleh landaan Covid-19.

Ada staf kesihatan mental yang dijangkiti oleh virus ini dan ada pula fasiliti kesihatan mental yang terpaksa ditutup dan dijadikan fasiliti pesakit Covid-19.

Pelaburan

Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, Hari Kesihatan Mental pada 10 Oktober 2020 adalah satu peluang untuk dunia bersatu dalam usaha mengatasi pengabaian kesihatan mental yang sudah menjadi biasa.

Beliau juga berkata bahawa kita sedang melihat akibat pandemik Covid-19 ke atas kesihatan mental manusia dan ini hanyalah permulaannya.

Jika kita tidak menambah pelaburan dalam kesihatan mental sekarang, akibat negatif pada keadaan ekonomi, sosial dan kesihatan akan lama dan merebak dengan bahayanya.

Tidak ramai orang sedar bahawa bagi setiap pelaburan AS$1 untuk kecelaruan mental yang sering ditemui seperti kemurungan dan kebimbangan, pulangan AS$5 dapat dikecapi dalam bentuk kesihatan dan produktiviti.

Malaysia hanya mempunyai 410 pakar psikiatri dengan kadar pakar psikiatri per populasi sebagai 1.27 per 100,000.

Ini sudah tentu tidak mencukupi kerana ideal yang hendak dicapai oleh negara maju seperti New Zealand ialah seorang pakar psikiatri bagi 7,500-10,000 populasi.

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (KKMK) 2015, 29.2 peratus rakyat Malaysia yang dewasa (16-65 tahun) dianggarkan menghidapi masalah kesihatan mental, berbanding 10.6 peratus pada tahun 1996.

Ini bermakna tiga daripada 10 orang dewasa Malaysia mungkin mempunyai masalah kesihatan mental.

Sejauh mana kerajaan prihatin akan kesihatan rakyat juga bergantung kepada sejauh mana kesihatan mental menerima perhatian yang wajar.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penggiat masyarakat dan ahli Akademi Profesor Malaysia