‘Belanjawan berani, tetapi tidak cukup berani’

Tengku Zafrul pada 6 November lalu mengumumkan Belanjawan 2021 merangkumi RM236.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM69 bilion bagi pembangunan dan RM17 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19, manakala RM2 bilion lagi diperuntukkan bagi simpanan luar jangka. - Foto Bernama
Tengku Zafrul pada 6 November lalu mengumumkan Belanjawan 2021 merangkumi RM236.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM69 bilion bagi pembangunan dan RM17 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19, manakala RM2 bilion lagi diperuntukkan bagi simpanan luar jangka. - Foto Bernama
A
A
A

DALAM usaha memerangi krisis ekonomi dan kesihatan terburuk bahana pandemik koronavirus (Covid-19), buat pertama kalinya kerajaan Perikatan Nasional (PN) memperuntukkan belanjawan terbesar dalam sejarah berjumlah RM322.5 bilion.

Menerusi pembentangan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz minggu lalu, Belanjawan 2021 merangkumi RM236.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM69 bilion bagi pembangunan dan RM17 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19, manakala RM2 bilion lagi diperuntukkan bagi simpanan luar jangka.

Tengku Zafrul turut menjelaskan kerajaan memutuskan supaya Belanjawan 2021 merupakan belanjawan yang mengembang dengan tidak berkompromi bagi melindungi nyawa dek ancaman Covid-19 meskipun dalam keadaan hasil kurang.

Tahun hadapan, walaupun menjangkakan kesan Covid-19 akan terus dirasai, Tengku Zafrul berkata kutipan hasil kerajaan tahun hadapan dijangka meningkat berbanding tahun ini kepada RM236.9 bilion.

Bagaimanapun, pengumuman itu mencetuskan tanda tanya, bahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mempersoalkan dari mana datangnya unjuran kutipan hasil dikemukakan itu dengan kesan pandemik Covid-19 menyebabkan banyak syarikat korporat dan perniagaan terjejas teruk.

Ditambah dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyeluruh buat kali kedua pada tahun ini bermula semalam, impak negatif Covid-19 sepatutnya akan menjadi lebih serius jika mengambil kira pandemik itu akan terus berpanjangan pada tahun hadapan.

Anwar sewaktu perbahasan usul Belanjawan 2021 hari ini turut menyifatkan unjuran pertumbuhan ekonomi sebanyak 9.6 peratus dibuat Tengku Zafrul pada tahun hadapan, tidak realistik.

Persoalan dicetuskan Anwar sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat sama ada Belanjawan 2021 benar-benar berpaksikan indikator ekonomi nyata atau sekadar ‘indah khabar dari rupa’.

Artikel Berkaitan:

Bukan rekaan

Pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai bagaimanapun berpendapat angka dikemukakan Kementerian Kewangan itu bukan sekadar rekaan, tetapi disokong penganalisis ekonomi antarabangsa.

“Berdasarkan laporan Belanjawan 2021, kadar pertumbuhan ekonomi sebenar dikemukakan 6.5 hingga 7.5 peratus, dengan ia masih dalam lingkungan unjuran institusi antarabangsa seperti RHB Investment iaitu 7 peratus, Bank Dunia (6.9 peratus) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (7.8 peratus).

“Mengapa IMF menganggarkan ekonomi negara bertumbuh sehingga 7.8 peratus? Ini kerana pada tahun 2020, kadar pertumbuhan ekonomi adalah -6 peratus dan apabila ekonomi menguncup banyak, untuk ekonomi naik sehingga 7.8 peratus adalah lebih mudah,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Barjoyai Bardai
Barjoyai Bardai

Di sebalik jaminan kadar pertumbuhan ekonomi semakin memberangsangkan pada tahun hadapan, kerajaan PN masih perlu meminjam sebanyak RM85 bilion bagi menampung defisit Belanjawan 2021.

Dengan hasil cukai langsung dianggarkan menurun sebanyak RM20 bilion tahun ini, hampir separuh daripada peruntukan Belanjawan 2021 adalah bukan daripada hasil cukai, namun daripada pinjaman dan hasil bukan cukai sebanyak RM148 bilion (46 peratus).

“Saya menjangkakan sebahagian besar nilai pinjaman ini adalah daripada pinjaman dalam negeri seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan lain-lain yang membeli bon kerajaan.

“Mungkin sebab ini, kerajaan hanya membenarkan sebahagian kecil iaitu kurang 10 peratus atau 600,000 daripada 7 juta pencarum aktif KWSP dibenarkan pengeluaran Akuan 1 mereka.

“Hakikatnya, kerajaan mahu pinjam duit KWSP dan dividen Petronas untuk Belanjawan 2021,” kata Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil.

Isham Jalil
Isham Jalil

Hasil merosot

Dari sudut pandangan berbeza, seorang lagi pakar ekonomi, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor melihat kerajaan sememangnya sudah berfikir masak-masak sebelum membuat pinjaman susulan hasil kutipan cukai dan ekonomi secara keseluruhan akan merosot.

“Di sini, kerajaan perlu fokus kepada pinjaman dalam negeri dengan kadar faedah lebih rendah berbanding meminjam dari institusi kewangan luar negara yang mendedahkan Malaysia kepada risiko bankrap.

“Jikalau terdesak mendapatkan kutipan hasil baharu, kerajaan boleh memperkenalkan cukai baharu dengan kemungkinan besar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan cukai durian runtuh terhadap syarikat untung sewaktu Covid-19 akan diperkenalkan semula.

“Dari aspek penstrukturan semula cukai pendapatan, kerajaan mungkin menaikkan kadar cukai itu dalam kalangan golongan T20,” katanya.

Shazali Abu Mansor
Shazali Abu Mansor

Keseluruhannya, Barjoyai dan Shazali berkongsi pandangan Belanjawan 2021 adalah satu belanjawan berani, namun dari perspektif lebih luas, ia dirasakan masih tidak mencukupi pada saat petugas barisan hadapan dan rakyat berjuang mendepani Covid-19.

“Belanjawan dikemukakan seolah-olah macam berani, tetapi tidak cukup berani. Sepatutnya kerajaan perlu mengunjurkan perbelanjaaan mencecah RM400 bilion hingga RM500 bilion dan saya percaya Bank Dunia serta IMF akan memaafkan negara sekiranya berdepan defisit besar.

"Dengan ancaman Covid-19 dijangka tidak akan selesai pada suku tahun pertama 2021, peruntukan untuk golongan memerlukan terutama petugas barisan hadapan, golongan hilang pekerjaan dan syarikat terjejas juga patut ditambah berlipat ganda,” kata Barjoyai.

Ditanya polemik kebenaran pengeluaran Akaun 1 KWSP, Barjoyai memberi pandangan menarik apabila menjelaskan kemudahan itu sebenarnya lebih dinikmati golongan M40 berbanding B40.

“Dengan pendedahan sejumlah 42 peratus pencarum KWSP hanya memiliki simpanan tidak sampai RM5,000, sudah pasti kemudahan pengeluaran Akaun 1 hanya akan tertumpu kepada golongan M40 bersasar,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan unjuran kutipan hasil Belanjawan 2021 terlalu optimistik dan tidak terlalu menfokuskan usaha memperkasakan masalah kesihatan awam dihadapi negara ketika ini.

“Walaupun bencana Covid-19 menyebabkan negara terjejas teruk, saya kecewa kerana keseluruhan perbelanjaan untuk Kementerian Kesihatan hanya ditambah sedikit, daripada RM30.8 bilion kepada RM31.4 bilion,” katanya.

Boon Chye
Boon Chye

Bagaimanapun, Boon Chye mengalu-alukan cadangan peruntukan RM3 bilion bagi mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 secepat mungkin pada suku pertama tahun hadapan.

“Masalah ekonomi negara akan pulih sepenuhnya sekiranya kita berjaya mendapatkan vaksin Covid-19 lebih awal, terutama sektor-sektor utama seperti pelancongan dan perkhidmatan,” katanya.

Keperluan negara mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 secepat mungkin adalah sangat penting dalam usaha memulihkan kembali ekonomi terjejas teruk akibat pandemik itu.
Keperluan negara mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 secepat mungkin adalah sangat penting dalam usaha memulihkan kembali ekonomi terjejas teruk akibat pandemik itu.