Perolehan terpakai perkasa kekuatan

A
A
A

PEROLEHAN kereta kebal PT-91M Pendekar yang dimeterai Kementerian Pertahanan (Mindef) pada tahun 2003 dengan firma Bumar Labedy dari Poland telah memberi dimensi baharu dalam kemampuan tempur Tentera Darat

Rekaan PT-19M yang berasaskan casis kereta kebal utama T-72M1 telah menjalani pengubahsuaian untuk memenuhi keperluan strategik peperangan armor di Malaysia.

Sebanyak 46 buah kereta kebal dibeli bersama kenderaan sokongan melibatkan nilai kontrak keseluruhan kira-kira RM1.4 bilion.

Beberapa prototaip dibina dan diuji termasuk mengalami beberapa kegagalan sebelum kumpulan pertama enam buah kereta kebal PT-91M tiba di negara pada Ogos 2007.

Sebagai pembelian baharu, perolehan kereta kebal ini memakan masa yang panjang sejak dirancang pada tahun 2002.

Tiga tahun selepas perolehan ini, Singapura pula memeterai pembelian 66 buah kereta kebal terpakai jenis Leopard 2A4 buatan Jerman manakala 33 buah lagi sebagai alat ganti bagi menggandakan kuasa tempurnya.

Singapura ketika itu mengoperasikan kira-kira 350 buah kereta kebal ringan AMX-13 yang juga kelengkapan terpakai. Berbanding PT-91M, kereta kebal Leopard dengan berat 60 tan bersaiz lebih besar.

Kos perolehan Leopard 2A4 ini tidak dinyatakan tetapi republik itu dipercayai membelanjakan kira-kira RM280 juta sebelum kereta kebal tersebut menjalani proses naik taraf yang dilakukan oleh firma tempatan, ST Kinetics.

Artikel Berkaitan:

Versi naik taraf milik ini, Leopard 2SG memiliki perkakasan elektronik yang ditambah baik dan lebih moden. Kereta kebal ini dikendalikan oleh Batalion ke-48 Rejimen Armor Singapura yang turut disertai anggota kerahan tenaga.

Bagi Singapura, walaupun kereta kebal ini telah digunakan tentera Jerman selama 20 tahun tetapi ia masih pembelian yang berbaloi selain ciri-cirinya menepati keperluan negara itu.

Langkah Singapura diikuti Indonesia apabila memeterai perjanjian perolehan 61 buah kereta kebal terpakai Leopard 2A4 dengan kos kira-kira RM1.1 bilion pada tahun 2013.

Turut diterima ialah kereta kebal versi pembawa jambatan medan, kembalik dan kenderaan kejuruteraan. Perolehan ini juga melibatkan program kerjasama industri pertahanan Indonesia – Jerman berkapasiti tinggi yang dirahsiakan.

Kelengkapan

Kereta kebal ini dinaik taraf kepada versi lebih baik bagi menepati kehendak Tentera Nasional Indonesia (TNI). Kereta kebal Leopard 2RI (Republik Indonesia) yang boleh beroperasi dalam pertempuran di bandar selain sesuai dengan iklim tropika kini menjadi tunjang utama TNI-Angkatan Darat.

Sebagai sebuah negara kepulauan terbesar di dunia, Indonesia yang juga berada pada kedudukan ke-16 kuasa tentera dunia memiliki cabaran tersendiri untuk melengkapkan pertahanan negara.

Sebab itu, Indonesia membuat banyak pembelian sistem persenjataan terpakai bagi kesemua cabang angkatan tenteranya termasuk menerima kelengkapan perang yang telah dinyahaktifkan.

TNI-Angkatan Laut misalnya membeli enam buah frigat kelas Ahmad Yani pada tahun 1985 iaitu kapal perang bekas Tentera Laut Belanda yang dibina pada tahun 1963. Pada tahun 1992 negara itu membeli 14 buah kapal perang terpakai milik Jerman Timur kelas Kapitan Pattimura.

Ini kerana membeli kelengkapan terpakai pada harga yang kompetatif memberi kelebihan kerana kuantiti yang boleh dibeli lebih banyak selain lebih cepat digunakan berbanding perolehan baharu yang mengambil masa panjang.

Keadaan menjadi sebaliknya sekiranya program pembinaan kelengkapan perang itu gagal disiapkan.

Justeru, dalam situasi kewangan yang terhad tetapi pemodenan tetap diperlukan, maka perolehan kelengkapan terpakai boleh dipertimbangkan Angkatan Tentera Malaysia demi memperkasakan negara.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu