Gerakan dakwah norma baharu

Bulan dakwah tidak bermaksud mengehadkan tempoh berdakwah pada bulan tertentu sahaja, sebaliknya ia adalah kempen ke arah melestarikan gerakan dakwah di negara ini. Gambar hiasan.
Bulan dakwah tidak bermaksud mengehadkan tempoh berdakwah pada bulan tertentu sahaja, sebaliknya ia adalah kempen ke arah melestarikan gerakan dakwah di negara ini. Gambar hiasan.
A
A
A

NEGARA kita, malah seluruh dunia sedang berdepan dengan pandemik koronavirus (Covid-19) yang tidak diketahui bilakah ia akan berakhir.

Kehidupan penghuni muka bumi ini juga telah berubah secara mendadak dalam banyak perkara termasuk rutin kehidupan mereka.

Tentu sahaja ia turut mempengaruhi urusan kehidupan beragama khasnya bagi umat Islam yang mempunyai banyak aktiviti ‘wajib tunai’ pada setiap hari.

Realitinya, kita terpaksa mengurus kehidupan masa kini dengan norma baharu. Bukan sahaja pada aspek urusan muamalah, tetapi juga melibatkan urusan ibadah atau lebih luas lagi melibatkan urusan agama keseluruhannya.

Dakwah Islamiyah dan gerakannya adalah antara yang terpaksa dipatenkan kembali supaya ia bukan sahaja mematuhi SOP yang dikeluarkan pihak berkuasa tetapi juga mestilah dilihat tidak terjejas malah lebih berkesan.

Gerakan dakwah islamiyyah sewajarnya bersifat kreatif dan pro aktif meskipun apa jua situasi yang dihadapinya. Justeru, norma baharu ini hanyalah satu cabaran daripada cabaran sepanjang zaman yang telah ditemui dan dihadapi oleh gerakan dakwah disepanjang zaman.

Sejak ia digerakkan oleh Rasulullah SAW, gerakan dakwah ini tidak pernah sunyi mendepani cabaran dan halangan sepanjang perjalanannya, namun Alhamdulillah, kemuliaan dan keunikan gerakan dakwah islamiyah ini membuatkan ia tidak pernah gagal apatah lagi berhenti daripada meneruskan tanggungjawab membawa risalah Islam kepada umat manusia.

Norma baharu yang sedang kita jalani hari ini sayugianya tidak dilihat sebagai ancaman kepada gerakan dakwah. Sebaliknya, lihatlah ia sebagai peluang yang makin luas terbuka untuk menyebarkan risalah.

Artikel Berkaitan:

Sekadar mengambil satu contoh, saya melihat antara peluang yang luas terbentang bak samudera Atlantik untuk gerak kerja dakwah ialah pentas dakwah online.

Yadim menganjurkan Pentas Online Yadim untuk mempelbagaikan wajah pendekatan, interaktif dan komunikasi dengan orang ramai dan madu’u (sasaran dakwah).

Ia menjadi medan para penggerak dakwah mempertingkatkan kreativiti dan kualiti pendekatan menerusi penguasaan teknologi.

Ia membawa maksud pendakwah tidak lagi terikat dengan pendekatan konvensional tetapi mesti menerima hakikat bahawa pendakwah hari ini tidak boleh berpada dengan menguasai ilmu turath Islam semata-mata tetapi juga mesti menguasai teknologi maklumat.

Norma baharu ini menjadikan pendakwah yang enggan menguasai teknologi maklumat tidak boleh berperanan lebih jauh dalam menyampaikan Islam. Saya melihat norma baharu sebagai peluang.

Justeru, secara tidak langsung ia mendesak pendakwah memandaikan diri dengan menggunakan pelbagai aplikasi penyampaian maklumat dan strategi mendekatkan diri dengan madu’u.

Tidak sekadar telefon, SMS, e-mel, WhatsApp, panggilan video, Telegram, Facebook, Instagram, Twitter, YouTube dan Wechat, kini pendakwah mula aktif menggunakan FB Live, tik tok, bigo live dan sebagainya untuk menyampaikan dakwah kreatif dan interaktif.

Apa yang lebih menarik, capaian melalui pentas dakwah online ini lebih luas. Jika dakwah konvensional melalui pendekatan ceramah atau kuliah di masjid dan surau hanya boleh mencapai 500 ke 1,000 audiens semasa, maka dakwah online boleh mencapai puluhan malah ratusan ribu audiens semasa.

Ada yang mencecah jutaan. Demikianlah satu contoh yang mengungkap peluang buat pendakwah dalam menggalas tanggungjawab menyebar risalah era norma baharu.

Saya percaya, norma baharu ini akan terus merangsang sel-sel pintar serta cerdas dalam otak pendakwah untuk terus mencari 1,001 ruang bagi gerakan dakwah bolos daripada halangan dan rintangan.

* Nasrudin Hassan ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)